KUALA LUMPUR -- Pengerusi DAP, Lim Kit Siang hari ini merayu kepada perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguam negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengugurkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew.
"Dengan ini saya membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty Chew," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang berkata Chew ialah seorang isteri yang setia dan ibu yang penyayang kepada empat cahaya matanya.
"‘Penjenayah’ yang mereka sebutkan itu bukan Betty Chew yang saya kenali selama tiga dekad.
"Carilah di rumahnya dan anda tidak akan menemui, misalnya, 12,000 barang kemas yang terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 kalung, 2,100 gelang, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang, 14 tiara atau 423 jam tangan mewah (berjenama Rolex, Chopard dan Richard Mille), 234 cermin mata hitam mewah (berjenama Versace dan Cartier), 567 beg tangan mewah dari 72 jenama (antaranya Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN dan Judith Leiber), 272 beg tangan dari Hermès (beg Birkin) atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang berbeza.
"Justeru mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua Malaysia," katanya.
"Namun begitu, kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.
"Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan," katanya.
Mengulas berhubung tuduhan rasuah terbaru Lim Guan Eng, Kit Siang berkata anaknya itu telah mengalami penganiayaan yang lebih teruk sebelumnya.
Beliau berkata Guan Eng telah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri di Penjara Kajang hanya kerana mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur yang dirogol.
"Mereka yang tidak kuat pasti akan cepat patah semangat dengan peristiwa yang dilalui Guan Eng," katanya.
Semalam, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Beliau, bagaimanapun menjawab "tidak bersalah" dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau hadir ke mahkamah ditemani bapanya, Kit Siang, kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Sementara
itu, Chew dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dijangka didakwa bersama
Guan Eng pada Selasa, 11 Ogos atas tuduhan pengubahan wang haram. -
SuaraKini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan