HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Ogos 2020

BN Umum Calon PRK Slim Hari Ini

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim petang ini.

Pengumuman tersebut dijangka akan dilaksanakan oleh Pengerusi UMNO Perak merangkap Pengarah PRK Slim, Datuk Saarani Mohamad dalam satu sidang media di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 28 Ogos nanti.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

Tiada ulasan: