HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2020

Kempen secara beretika, calon ketua Pemuda PPBM beritahu pencabar

Exco Pemuda PPBM, Mohd Muzzammil Ismail berkata calon patut berkempen 
secara beradab.

PETALING JAYA: Seorang exco Pemuda PPBM yang menyasarkan jawatan tertinggi sayap itu menggesa calon pemilihan parti tidak menggunakan kedudukan dalam kerajaan, susulan klip video tersebar di media sosial didakwa menyerupai seorang pencabar yang menjanjikan surat sokongan bagi mendapatkan undi.

Mohd Muzzammil Ismail berkata, ini termasuk menjanjikan bantuan kepada penyokong.

Katanya, calon sebaliknya perlu mempromosikan idea dan rancangan mereka untuk mengukuhkan parti.

“Kempen perlu dilakukan secara beretika, dan calon perlu berhati-hati dengan kenyataan mereka.

“Kita patut berkempen secara beradab,” katanya kepada FMT.

Dalam klip video itu, calon ketua Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mendakwa beliau boleh mengeluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri belia dan sukan serta ketua Pemuda.

“Saya sebagai timbalan menteri dan insya Allah ketua Pemuda nasional, akan permudahkan. Dengan bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan.

“Saya timbalan menteri, sebagai ketua Pemuda dan saya akan buat salinan kepada yang perdana menteri untuk perkukuhkan. Itu guna jawatan.

“Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang, tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya calon nombor satu,” katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau enggan mengulas ketika dihubungi FMT.

Muzzammil berkata, calon perlu berdiri “di atas kaki sendiri”.

“Kita juga patut mengelak menggunakan nama presiden parti,” katanya merujuk Muhyiddin Yassin.

Jawatan ketua Pemuda PPBM kosong selepas keahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditamatkan kerana duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Tiada ulasan: