HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2020

Kesan undi bukan-Melayu dalam PRU15, penganalisis berbeza pendapat

 Hakimie Amrie Hisamudin

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik berbeza pandangan berhubung kepentingan undi bukan-Melayu dalam pilihan raya umum akan datang susulan penggabungan 3 parti Melayu dalam Muafakat Nasional (MN).

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pengundi bukan-Melayu perlu bersikap pragmatik dalam membuat keputusan politik bagi memastikan undi mereka kekal relevan.

“Tidak bermakna undi mereka tidak relevan, tetapi pengundi bukan-Melayu perlu pragmatik ketika membuat keputusan politik.

“Misalnya semasa kemuncak era Barisan Nasional (BN), dengan Umno di kerusi pemandu, pengundi bukan-Melayu mengundi BN atas alasan pragmatik,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan

Beliau memberi respons terhadap pelawaan yang diterima oleh PPBM daripada MN supaya parti itu menyertai gabungan politik tersebut dalam usaha meraih undi orang Melayu.

Selepas menjemput PPBM secara rasmi untuk menyertai MN bersama-sama Umno dan PAS, setiausaha agung BN Annuar Musa berkata, gabungan itu juga terbuka kepada penyertaan parti lain bagi menyatukan ummah.

Azmi berkata, politik kaum tidak baik untuk negara ini kerana pengundi akan membuat keputusan berdasarkan keperluan mereka, bukannya ideologi politik semata-mata.

Beliau berkata, dengan 3 parti politik Melayu menyertai MN, maka perpecahan undi dalam kalangan komuniti itu adalah minimum.

Awang Azman Pawi

“Ia akan menjadi lebih stabil kerana 3 parti itu akan bekerjasama ke arah tujuan bersama. Ini akan menjadikan kumpulan itu kuasa politik yang kuat.”

Bagaimanapun Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keadaan itu tidak sihat untuk Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau berkata, undi bukan-Melayu akan dilihat kurang relevan.

“Ini akan menimbulkan rasa marah dalam kalangan orang bukan-Melayu.”

Katanya, beliau faham kenapa Umno mengisytiharkan komitmennya pada MN, berbanding Perikatan Nasional (PN).

“Umno akan dilayan sebagai rakan kongsi setaraf dalam PN. Ini akan menyebabkan Umno terpaksa mengalah kepada parti lebih kecil. Sebagai parti besar, ia merugikan Umno.”

Tiada ulasan: