HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2020

Perubahan zaman: Perang poster PRK Slim suram

 
Susulan peredaran zaman yang menyaksikan calon dalam PRK 
Slim memanfaatkan teknologi komunikasi utk berkempen 
di media sosial, tradisi perang poster dan bendera ternyata
tidak meriah.

TANJUNG MALIM: Bila disebut kempen pilihan raya, ramai pasti membayangkan perang poster dan bendera yang cukup meriah menghiasi kawasan sekeliling.

Namun, suasana pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Neg

eri (DUN) Slim kelihatan agak “suam-suam kuku” walaupun kempen sudah masuk hari ke-8 hari ini.

Pesta poster dan bendera dilihat kurang menyengat sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon Mohd Zaidi Aziz, mahupun 2 calon bebas, iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru S Santharasekaran.

Ketiga-tiga calon dilihat lebih cenderung mengadakan ceramah dalam skala kecil, tinjuan mesra dan ziarah kasih dari satu kawasan ke kawasan lain di samping memanfaatkan teknologi menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi WhatsApp.

Pendekatan itu juga sebagai menyahut saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya semua pihak bertanding mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib menyifatkan perang poster dan bendera sebagai sesuatu yang agak ketinggalan zaman kerana kedua-dua bahan itu kini boleh ditonjolkan secara digital dengan lebih hebat.

“Tanpa perang poster, kesedaran tetap ada bahawa kempen sedang berjalan, pengundian akan berlaku. Gambaran mungkin kurang meriah, tapi meriah dalam bentuk digital dan ini kita kena terima selari dengan kebiasaan baru,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian, pemasangan bendera serta poster kebanyakannya tertumpu di kawasan pekan Slim River, Felda Besout dan Trolak dengan didominasi BN.

Manakala bahan kempen Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok agak kurang, sementara tiada poster dan bendera di pihak Santharasekaran yang menggunakan simbol buku.

Santharasekaran ketika ditemui media mengakui tidak menaikkan bendera atau poster kerana menumpukan terhadap kempen digital, selain mahu mengelak pembaziran.

Dari segi gerak kerja kempen, Mohd Zaidi lebih rancak dengan dibantu kepimpinan tertinggi BN dan Umno yang turun padang antaranya naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob; presiden MCA Wee Ka Siong, ketua Wanita Umno Noraini Ahmad, selain timbalan presiden Umno Mohamad Hasan.

Kempen Amir Khusyairi pula dibantu beberapa penyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad seperti Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selain pemimpin PH, termasuk naib presiden Amanah Mujahid Yusof.

Santharasekaran pula hanya bergerak dalam skala kecil melibatkan bantuan daripada rakan-rakannya.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya selama 4 penggal daripada BN Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

SPR menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada polis dan pasangan, manakala 22,815 lagi pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada 29 Ogos.

DUN Slim yang berkeluasan 510 km persegi mempunyai 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Tiada ulasan: