HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Ogos 2020

MIC kekal dengan PN jika BN, Umno juga kekal, kata Vigneswaran

 
Presiden MIC S Vigneswaran.

PETALING JAYA: Presiden MIC S Vigneswaran berkata, parti itu kekal komited sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) selagi Barisan Nasional (BN) dan Umno kekal dalam gabungan kerajaan itu.

“Kita tahu di peringkat akar umbi, ada yang mempersoalkan sama ada Umno akan menyertai PN atau sama ada PPBM akan menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Bagi MIC, kami masih komited dengan PN selagi BN dan Umno kekal dengan PN,” katanya kepada FMT.

MN ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lalu. Bersama-sama PPBM, ia kemudiannya membentuk gabungan longgar PN yang mengambil alih kerajaan pusat dengan sokongan gabungan kerajaan Sarawak, iaitu GPS.

Terdahulu hari ini, presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa MN bersetuju menjemput PPBM menyertai gabungan itu, dengan berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden Umno dan PAS.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, akar umbi parti itu “tidak selesa dan tidak bersetuju” dengan idea PPBM menyertai MN.

Ia juga muncul selepas PAS mengesahkan bahawa parti itu menjadi sebahagian jawatankuasa penaja dengan PPBM untuk mendaftarkan PN secara rasmi.

Zahid sebelum ini menegaskan Umno tidak akan menyertai PN.

Bulan lepas, Zahid berkata, Umno akan terus menyokong PN untuk membentuk kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri, namun menambah bahawa Umno akan terus mengukuhkan MN.

Tiada ulasan: