HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Ogos 2020

Parti Pejuang Tanahair nama parti baharu Tun M

Mohammad Arif Nizam
Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. 
Mahathir Mohamad mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada Majlis 
Memperkenalkan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri 
(DUN) N. 58 Slim di Slim Permata, Slim, Perak. foto AFFAN FAUZI,

SLIM RIVER – Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan nama parti baharunya sebagai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Pengumuman itu dibuat pada majlis memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Taman Slim Permata di sini malam ini.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, beliau pada mulanya tidak berminat menubuhkan parti baharu namun beliau menjelaskan bekas partinya telah ‘dirampas’ hingga dirinya dan pengasas lain dibuang keahlian walaupun mereka membawa kes itu ke mahkamah.

“Saya dan beberapa pengasas lain Bersatu dikeluarkan dari parti dan kami sudah tidak ada parti tapi dalam PRU (Pilihan Raya Umum), kita perlu parti untuk berjuang bukan untuk pecah belah orang Melayu tapi hendak beri peluang kepada kaum itu bukan untuk parti apa yang dapat.

“Kita tubuhkan parti ini (Pejuang) kerana ingin membersihkan negara,” katanya.

Mahathir menambah, bekas ahli Bersatu yang dikenali Bersatu Blackout kini boleh kembali kerana mereka sudah ada parti semula.

“Pejuang tidak tawar bayaran jadi ahli. Siapa nak masuk, masuklah ahli jadi. Cuma kami tiada ada wang nak tabur.

“Di Sabah kalau tidak wang kenapa mereka (ADUN) nak lompat.
Di Slim kita bukan keturunan katak,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Pejuang yang diasaskan oleh bekas enam ahli Parlimen Bersatu menamakan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka atas tiket bebas.

Turut hadir bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Marzuki Yahya.

Hadir sama adalah pemimpin dari parti komponen Pakatan Harapan seperti Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M anggap parti baharunya sebagai parti pejuang

Tiada ulasan: