HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2020

Pas sertai PN: Zahid jumpa Hadi esok

Mohammad Arif Nizam
MGF19082020_DS-ZAHID-HAMIDI-RAMAH-MESRA-PENGUNDI10-681x454
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad 
Zahid Hamidi

SLIM RIVER – UMNO akan minta penjelasan Pas berhubung tindakan parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini malam esok.

“Malam esok ada perjumpaan dengan Muafakat Nasional di mana Presiden Pas dan saya akan bersama-sama dalam pertemuan itu.

“Ada mesej tertentu yang mahu kami sampaikan. Sebagaimana yang diketahui kini Pas sudah bersama dengan Bersatu mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi di dalam PN.

“Ini akan diperjelaskan esok, tentunya ada mesej tertentu di mana MN akan terus diperkasa dan diperkukuhkan, bukan hanya UMNO dan Pas tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC tetap bersama,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pihak media selepas mengadakan program ziarah kasih di Felda Besout 2 di sini hari ini.

Baru-baru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa parti itu akan menyertai PN bersama Bersatu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) berkata, walaupun gabungan MN tidak didaftarkan namun ia adalah sebuah gabungan kesepakatan politik parti yang menyokong PN.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahmad Zahid berkata, BN mengambil pendekatan melawat rumah ke rumah memasuki minggu terakhir kempen.

“Semua pemimpin UMNO, Pas dan parti lain yang membantu kita menggunakan pendekatan sama,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: