HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Ogos 2020

Peluang Guan Eng bersihkan nama

 Oleh SAFINA RAMLI

Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Abdul Latiff

GEORGETOWN: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disaran menggunakan saluran mahkamah untuk membersih­kan nama daripada sebarang tuduhan berkaitan rasuah.

Veteren politik Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Abdul Latiff berkata, ins­titusi kehakiman di negara ini berpegang teguh kepada kedau­latan undang-undang dan sentiasa telus dalam memberikan keputusan kehakiman.

“Sejak lebih 10 tahun lalu, tuduhan berkaitan rasuah berlegar-legar dalam karier politik Guan Eng dan sehingga kini isu ini telah dijadikan mainan politik pelbagai pihak.

“Jadi pada masa ini, saluran mahkamah merupakan medan terbaik untuk Guan Eng membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan berkaitan rasuah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa meminta suapan daripada projek yang sama.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan itu.

Menurut Mohd. Yussof, ins­titusi kehakiman negara ini sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat yang percaya kepada kewibawaan mahkamah dalam memperkasa kedaulatan undang-undang negara.

“Sesiapa sahaja yang dihadapkan ke mahkamah tanpa mengira status mempunyai saluran untuk mempertahankan diri, jadi gunakan peluang itu dengan sebaiknya,” kata Mohd. Yussof.

Tambah beliau, di negara ini juga, tidak ada sesiapa yang kebal terhadap undang-undang malah parti politik juga tidak pernah mencampuri urusan badan kehakiman negara.

“Sebagai rakyat kita sentiasa mempercayai institusi kehakiman negara, kita tidak boleh membuat kesimpulan terhadap mana-mana kes, biar mahkamah yang menentukannya,” katanya.

Tiada ulasan: