HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Ogos 2020

Tun M minitkan surat kepada SPRM batal pembekuan akaun ahli perniagaan

Oleh NUR ASLINDA NASIR
TAKIYUDDIN HASSAN

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan beberapa pucuk surat diminitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membatalkan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan pada 2018.

Ia membabitkan kes seorang ahli perniagaan Tan Sri Lim Soon Ping yang terlibat dengan kes pengubahan wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM4 juta.

Berikutan itu ahli perniagaan berkenaan meminta peguamnya menulis surat representasi bertarikh 10 Oktober 2018 kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull untuk melepaskan pembekuan semua akaun peribadi dan syarikatnya secepat mungkin.

“Apa yang berlaku Yang Berhormat surat kepada SPRM ini telah diminta untuk diminitkan oleh siapa?…. Oleh, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir) pada masa itu. Perdana Menteri ketujuh menyatakan dalam surat representasi… Yang Berhormat saya percaya dalam surat representasi Ahli Parlimen Sepang kepada pelanggannya tiada orang minit begini.

“Minit berkenaan berbunyi saya berpendapat penyelewengan oleh bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan kepada Tan Sri Lim… inilah minit… Oleh itu segala pembekuan akaun peribadi dan syarikatnya tidak boleh dikekalkan…sign 5 Disember 2018… Perdana Menteri Malaysia ‘cop’.

“Apa yang berlaku kepada surat ini… surat peguam kepada Tan Sri Lim Soon Ping kepada dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang diminitkan oleh Perdana Menteri dan diminitkan sekali oleh Menteri Kewangan pada masa itu Yang Berhormat Bagan, Lim Guan Eng.

“Minit berkenaan berbunyi Yang Berhormat AG; “Please lift the freeze of account as requested by YAB Perdana Menteri bertarikh 19 Februari 2019. Ini adalah minit dibuat ke atas surat seorang peguam Tan Sri Lim Soon Ping, seorang dituduh melakukan kesalahan ini,” dedah Takiyuddin sesi penggulungan di Dewan Rakyat, semalam. 

Tambah Takiyuddin, Peguam Negara telah membalas surat berkenaan dengan menulis surat kepada Guan Eng walaupun bukan tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

Katanya, Peguam Negara kemudian menulis surat kepada SPRM bagi meminta pembatalan segala pembekuan akaun milik Soon Ping dan syarikatnya secepat mungkin.

“Ini adalah arahan Peguam Negara kepada SPRM supaya menarik balik pembekuan milik Tan Sri Lim Soon Ping yang mengambil duit 1MDB sebanyak RM4 juta,” tegas Takiyuddin mengatakan ‘dokumen bersuara lebih lantang daripada kata-kata’ bagi membalas hujah dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, bahawa ia hanya sekeping kertas.

Pendedahan mengejutkan oleh Takiyuddin itu menyebabkan ramai Ahli Parlimen PH ‘panas’ kerana dokumen berkenaan tidak pernah didedahkan di Dewan Rakyat sebelum ini. – UTUSAN

Tiada ulasan: