HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Ogos 2020

Pemuda ISMA kesal politikus muda terjebak budaya ‘suap’, kronisme

Siti Hafidah

 

Anak muda perlu hidup berjuang bukan disogok surat sokongan

BANGI – Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal dengan budaya ‘suap’ dan kroni yang tiada berkesudahan dalam kalangan ahli politik.

Naib Ketua Pemuda ISMA, Aizat Rostam berkata, lebih mengecewakan adalah ahli politik muda yang diharap dapat membawa budaya baharu dalam politik turut terjebak dengan masalah kronisme.

“Anak muda yang sedang berhadapan dengan krisis kos hidup kehidupan, survival pendapatan dan lain-lain cabaran ini harus diberikan latihan dan dorongan, bukan disogokkan dengan surat sokongan.

“Pemuda ISMA berharap agar rakyat terutamanya anak muda untuk hidup berjuang, buktikan yang anak muda mampu berdikari dan tidak mengharapkan pada kroni semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook Pemuda ISMA, hari ini.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang timbalan menteri bersama ahli-ahli pemuda partinya di sebuah restoran.

Dalam video berdurasi 52 saat itu menunjukkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui jawatan yang diperoleh berguna untuk mengeluarkan ‘surat sokongan’.

“… dan sebagai Timbalan Menteri dan InsyaAllah Ketua Armada Nasional akan permudahkan, dengan bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan, sebagai timbalan menteri, sebagai Ketua Armada, saya akan buat salinan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Perdana Menteri.

“Itu guna jawatan,” katanya diikuti tepukan gemuruh daripada kumpulan pendengarnya dipercayai anggota Armada.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, jawatan yang diberi juga akan memudahkan penyokongnya bukan untuk dirinya sahaja.

“Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya nombor satu,” katanya.

Pada perkembangan lain, Aizat berkata, pihaknya sedang merangka satu skim latihan untuk anak muda yang akan membantu mereka menambah pendapatan atau pun mengurangkan kos hidup mereka.

“Skim ini dijangka akan dilancarkan oleh Pemuda ISMA menjelang akhir tahun 2020 ini,” katanya.

 

Tiada ulasan: