HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Ogos 2020

PPBM tidak mampu sumbang kepada MN, kata penganalisis

Penganalisis berkata, sukar bagi PPBM untuk menjadi pemain dalam MN 
kerana terpaksa tunduk kepada suara majoriti Umno dan PAS.

KUALA LUMPUR: PPBM hanya mampu menyumbang jawatan perdana menteri sekiranya mereka menyertai Muafakat Nasional (MN).

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, jika PPBM menyertai MN, hakikatnya parti itu tiada suara besar berbanding Umno dan PAS.

“Umno mempunyai kira-kira 3 juta ahli dan PAS pula mempunyai kira-kira 1 juta, manakala PPBM hanya 300,000 ahli.

“300,000 ahli ini pun belum dikira selepas berpecah kepada kepada ‘parti merah’, ‘parti hitam’, termasuk dengan kewujudan parti baru, iaitu Pejuang,” katanya merujuk kepada kumpulan yang menyokong presiden PPBM Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, partinya berhasrat menyertai MN selepas dijemput secara rasmi untuk berbuat demikian oleh Umno dan PAS.

Setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa selepas itu dilaporkan berkata, MN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima PPBM.

Awang Azman Awang Pawi

Bagaimanapun, timbalan presiden Umno Mohamad Hasan mendakwa akar umbi parti itu tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai MN yang merupakan gabungan antara 2 parti besar orang Melayu yang diwujudkan September tahun lepas.

Beliau berkata, Umno dan PAS memperjuangkan orang Melayu dan Islam dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat itu, terutama di kawasan luar bandar.

“Pengaruh PPBM jika mahu dibandingkan dengan Umno dan PAS umpama langit dan bumi,” katanya.

“Umno dan PAS mempunyai sejarah panjang dalam dunia politik sebelum ini dan mempunyai ‘tapak’ kukuh berbanding PPBM yang baru beberapa tahun ditubuhkan,” katanya.

Baginya, sukar bagi PPBM untuk menjadi pemain dalam MN disebabkan terpaksa “tunduk” kepada suara majoriti ahli Umno dan PAS.

“Di peringkat cawangan pun susah untuk cukupkan keahlian. Mana mungkin cacing nak gigit ular?,” soalnya.

Tiada ulasan: