HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Ogos 2020

Tanding sendirian, bawa haluan masing-masing jika tak mahu runding, kata Pemuda PAS

Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata 
Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) 
ialah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi 
pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum runtuh 
pada Februari lalu.

KUALA LUMPUR: Pihak yang masih tidak berpuas hati dan enggan berunding diminta bertanding sendirian dan membawa haluan masing-masing, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

“Bawalah pandangan ke meja rundingan, tidak perlu berdebat secara terbuka yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat, bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.

“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, pemuda PAS mencadangkan tidak perlu lagi diadakan rundingan.

“Semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan secara terbuka dikeluarkan pemimpin Umno dan PAS sebelum ini berhubung penyertaan parti terbabit dan PPBM dalam Perikatan Nasional (PN) serta Muafakat Nasional (MN).

Selasa lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan akar umbi parti itu tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai MN.

Bagaimanapun, keesokan harinya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyatakan partinya tidak ada masalah jika PPBM menyertai MN.

Beliau berpandangan, sebahagian besar rakyat sebenarnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan bawah pimpinan Muhyiddin Yasin.

Hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan di Twitter mengesahkan beliau dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menandatangani surat jemputan kepada PPBM menyertai MN.

Langkah itu dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat MN dipengerusikan Zahid dan Hadi bersama Mohamad dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Fadhli berkata, Pemuda PAS turut berpandangan PN mahupun MN ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum runtuh pada Februari lalu.

“Kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi hidangan mereka sekeluarga di atas meja.

“Dengan isu pekerja kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan dan pelbagai isu yang berlaku, adalah sangat tidak sesuai untuk rakyat dihidangkan dengan pertembungan antara parti yang sama-sama mendokong kerajaan di bawah Muhyiddin Yasin,” katanya.

Tiada ulasan: