HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Ogos 2020

Tumpu kemenangan PRN, Tok Mat beritahu Umno Sabah

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Umno 
Sabah bersatu dan memberi tumpuan pada usaha meraih 
kemenangan dalam pilihan raya di negeri itu September ini.

TANJUNG MALIM: Umno Sabah hari ini diminta bersatu bagi memastikan parti itu memperoleh kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) September ini.

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata, soal siapa yang mengetuai jentera PRN Sabah tidak penting kerana matlamat utama adalah memperoleh kemenangan.

“Jangan berpecah belah. Kalau berpecah, itu resepi untuk kalah. Kalau belum masuk gelanggang lagi kita dah kalah tidak guna juga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakanbeberapa pemimpin Umno Sabah yang tidak bersetuju dengan pelantikan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Rabu lepas, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan adalah munasabah bagi Bung Moktar mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi PRN Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September dengan hari pencalonan pada 12 dan pengundian awal 22 September.

Mengulas mengenai laporan bahawa setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan mengesahkan PAS berada dalam jawatankuasa penaja bersama PPBM untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata, Umno menghormati pendirian PAS.

“PAS menyertai PN, itu tidak ada apa-apa isu kerana dalam Muafakat Nasional (MN) kita tidak ada yang mengikat.

“PAS boleh sertai PN kerana MN pun bukan suatu badan yang didaftarkan, belum didaftarkan lagi kerana dalam kita punya piagam bekerjasama.

“Umno membuat pendirian bahawa kami tidak menyertai PN dan PAS menghormati pendirian kami. PAS pula kata dia nak bersama untuk sertai PN, kami juga menghormati pendirian PAS,” katanya.

Terdahulu, Mohamad bersama calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dengan penduduk di medan selera di pekan Slim di sini.

Tiada ulasan: