HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2020

Terowong Pulau Pinang: Guan Eng mengaku tidak bersalah terima suapan RM3.3 juta

Dewi Nur Harasha Alias, Astro Awani 
 
Terowong Pulau Pinang: Guan Eng mengaku tidak bersalah terima suapan RM3.3 juta
Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM3.3 juta berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. - Foto BERNAMA
 
BUTTERWORTH: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM3.3 juta berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu diantara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR .

Beliau melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh di penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Amad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz  Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Manakala Guan Eng diwakili barisan peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V. Vemal Arasan.

Hakim membenarkan jaminan dilaksanakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1 juta dan dua orang penjamin bagi pertuduhan tersebut dan pasport antarabangsa serta pasport diplomatik diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sebutan kes pada 9 September 2020.

Guan Eng juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di bawah akta sama bersabit kes lain pada Selasa.

Sebelum ini beliau berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) akta sama dan turut mengaku tidak bersalah atas pendakwaan tersebut.

Beliau dituduh menerima suapan balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada Ahad 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.

Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.

Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Tiada ulasan: