Oleh Sayed Mohd Hesham Bin Syed Idris
TANJUNG MALIM: Jentera komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menunjukkan kemewahan seperti berkereta besar ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu memahami budaya masyarakat di DUN Slim yang sebahagian besar adalah peneroka Felda.
“Saya percaya rakan-rakan parti komponen pasti akan membawa rakan-rakan mereka luar dari Perak. Saya nasihatkan jika ada yang datang, jangan memperlihatkan kemewahan, tak mahu datang dengan kereta-kereta (mewah).
“Kita tahu pengundi tak suka dengan kemewahan. Fahami budaya masyarakat di sini, budaya setempat dihormati kita tahu nilai tradisi mereka dan ini perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera BN PRK N.58 Slim dan Penyerahan Bahagian Angkat di Dewan Felda Jaya, Trolak dekat sini semalam.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan BN agar tidak menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen.
“Mana-mana pergerakan politik yang ada lawatan kerajaan, tolong elak guna kenderaan kerajaan kerana pihak sana memerhati gerak geri kita,” katanya.
Ahmad Zahid seterusnya yakin BN akan menang bergaya di DUN Slim atas semangat kerjasama Perpaduan Nasional dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.
Sementara itu, beliau percaya BN bakal dilawan oleh calon Bebas.
“Pas dan Bersatu tidak bertanding, saya hampir pasti ada calon Bebas yang bertanding,’ katanya.
Mengenai kemelut terkini Bersatu yang menyaksikan ada pemimpin dan ahlinya di beberapa buah negeri meninggalkan parti itu, Ahmad Zahid berkata, ia tidak mengganggu kempen BN.
“Biar mereka dengan masalah mereka, kita yakin Bersatu yang ada bersama kita akan terus sokong jentera kita di Slim,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan