KOTA KINABALU: Kemunculan ramai calon yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Sabah boleh membawa kepada keputusan tidak stabil pada 26 Sept ini selepas pengiraan undi, kata pemerhati politik.
Mereka tertanya-tanya apakah 2 gabungan yang bersaing, Warisan Plus dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dapat memperoleh majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri apabila keputusan diumumkan.
Kedua-dua gabungan itu menghadapi masalah keyakinan pengundi.
Bagi Warisan Plus, ia persoalan mengenai kehilangan aura, selepas Warisan dan sekutunya berkuasa pada 2018. Bagi GRS pula, persoalannya adakah mereka mampu bertahan pertembungan mesra sesama sendiri di 17 kerusi.
Keputusan Pilihan Raya Umum pada 2018 mungkin berulang, di mana tiada satu pun kumpulan yang memenangi lebih separuh daripada kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baru.
“Pertembungan mesra” di 17 kerusi yang ditandingi parti dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, yang membentuk GRS, akan saling melemahkan mereka dan boleh mengakibatkan parti itu gagal mencapai kemenangan meyakinkan.
Pemerhati politik tempatan, Hamid Ismail berkata, GRS akan menghadapi masalah besar jika ia tidak dapat menyelesaikan pertembungan sesama parti komponennya.
“Sekiranya tiada tindakan, pertembungan ini akan memberi gambaran negatif mengenai kepercayaan dan hubungan antara parti dalam pakatan ini,” kata peguam itu yang pernah bertanding sebelum ini.
Penganalisis politik turut tertanya-tanya jika pekerja pilihan raya Umno dan PPBM serta parti komponen lain dalam GRS dapat bekerjasama.
“Sekiranya jentera Umno dan PPBM boleh bekerjasama, mereka tidak dapat dihalang. Itu besar kemungkinannya,” kata bekas ketua menteri, Yong Teck Lee yang mengetuai SAPP menyertai PN baru-baru ini.
Pemerhati politik Sabah berkata, pertandingan banyak penjuru di semua 73 kerusi akan menarik undi daripada PN-BN dan Warisan Plus.
“Terdapat 447 calon untuk 73 kerusi atau purata 6 calon bertanding bagi setiap kerusi. Tentu ini akan memberi kesan kepada PN-BN dan Warisan Plus,” kata seorang pemerhati.
Hamid percaya Warisan akan paling terkesan dengan kehadiran parti kecil seperti Parti Cinta Sabah dan LDP.
“Warisan Plus tidak lagi mempunyai aura hebat seperti yang dimilikinya pada PRU 2018. Saya jangkakan PCS dan LDP akan menang di beberapa kerusi yang dipegang Warisan.
“Beberapa parti lain dan calon bebas fikir mereka boleh menjadi ‘kingmaker’. Ia mungkin berlaku,” kata Hamid.
Jika ini berlaku pada 26 Sept, pakatan sedia ada dapat dibentuk semula dan pembentukan kerajaan Sabah yang baru kekal menjadi suatu ketidakpastian.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan