HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2020

Parti baru Syed Saddiq tolak ‘politik tua’?

Manzaidi Mohd Amin

Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menyambut baik hasrat Syed Saddiq Syed Rahman hendak menubuh parti baharu yang tujuannya menolak ‘politik tua’ di Malaysia.

Bahkan, beliau mendoakan agar misi Ahli Parlimen Muar itu, yang juga bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya.

Bagaimanapun, katanya, dalam ‘kegembiraan’ mendoakan kejayaan anak muda itu, dalam hatinya tetap ada kebimbangan.

“(Saya) bimbang Syed Saddiq menjadi terlalu idealis, tetapi tidak realis. Menjadi idealis memang penting sebab itu adalah prinsip.

“Tetapi, Syed Saddiq patut seimbang antara idealis dan realis. Realiti sentiasa berubah. Ia berubah cepat terutama ‘realiti politik’.

“Namun, Syed Saddiq sudah sedia menerima realiti politik bila berkata, ‘saya mungkin kehilangan kerusi saya, mungkin kehilangan segalanya. Saya akan belajar menerimanya’,” katanya dalam status akaun Facebooknya, hari ini.

Pada Isnin minggu lalu, Syed Saddiq mengesahkan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau mengesahkan akan menubuhkan sebuah parti politik baru berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, jika di Thailand mereka boleh menubuhkan Future Forward, di Perancis menubuhkan En Marche di bawah Macron, beliau rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

Mengulas lanjut, Dr. Puad berkata, di Indonesia terdapat sebuah parti dokongan anak muda yang Islamis iaitu Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dengan majoriti pemimpinnya adalah profesional seperti doktor dan peguam.

Katanya, ketika tragedi Tsunami 2004, parti itu amat menonjol dan banyak memenangi kerusi semasa Pemilu, malah ramai juga dilantik sebagai menteri.

“Tetapi, setelah ada kuasa dan berjawatan menteri, beberapa pemimpinnya terlibat rasuah. Justeru, imej parti itu mula merosot.

“Sebab itu tidak kira siapa, muda atau tua, berpelajaran tinggi atau rendah, Islamik atau sekular, bila ada kuasa dan jadi menteri, prinsip perjuangan mudah tergadai.

“Ramai orang agama hanyut apabila masuk politik. Mereka bertambah hanyut apabila mendapat kuasa. Begitulah ganasnya politik,” katanya.

Malah kata Puad, Syed Saddiq pernah menjadi menteri dan pernah dilanda pelbagai kontroversi termasuk kehilangan wang tunai yang banyak dalam rumahnya.

“Dia juga banyak berkompromi dengan ‘politik tua’ yang sekarang dia mahu lawan. Sudah tentu politik tua itu dia pelajari daripada sifunya Tun Dr. Mahathir.

“Sekarang bila hilang kuasa, dia kembali mahu menjadi idealis iaitu politik ‘Muda Malaysia’.

“Justeru, kepada Syed Saddiq, tidak ada beza ‘politik tua’ atau ‘politik muda’. Yang beza ialah orang tua dan orang muda. Mereka tetap sama kalau perangai sama. Kadang-kadang orang muda lagi kuat mengamalkan politik tua. Sebab itu, yang membezakan ialah sama ada berprinsip atau tidak berprinsip,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: