HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2020

Rundingan pembahagian kerusi antara UMNO, Bersatu, Pas sedang rancak berjalan – Annuar

Kasthuri Jeevendran

MGF25082020_ANNUAR-RASMI-WILAYAH-PRIHATIN05-681x454

KUALA LUMPUR – Rundingan pembahagian kerusi untuk pilihan raya sedang rancak berlaku antara UMNO, Bersatu dan Pas ketika ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan itu melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan pemimpin.

“Ia usaha muafakat demi MENEWASKAN DAP-PH menerusi pertandingan SATU LWN SATU.

“Sementara rundingan berjalan dlm harmoni,terdengar suara2 sumbang di pinggiran.STAY FOCUS,DEMI KEJAYAAN,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan beberapa pemimpin dalam rundingan itu, antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Selain itu terdapat juga gambar yang menunjukkan pimpinan tertinggi dalam mesyuarat BN.

Beberapa hari lalu, Annuar mendedahkan rundingan kerusi di antara BN dengan parti-parti sahabat di Sabah yang dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hampir selesai.

Annuar bagaimanapun enggan mendedahkan pecahan kerusi yang akan ditandingi BN dan parti-parti Sabah bagi menentang calon-calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk pertandingan satu lawan satu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: