HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 September 2020

Pas turun ke Sabah bantu PN, BN hadapi Warisan – Takiyuddin

Manzaidi Mohd Amin
MGF22082020_CERAMAH-5-SETIAUSAHA-AGUNG-MN25-681x454
Takiyuddin menyatakan komitmen Pas Pusat membantu PN 
dan BN di Sabah.

KUALA LUMPUR – Walaupun Pas tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tetapi parti itu komited turun padang membantu calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menghadapi calon lawan dari Warisan.

Ini dinyatakan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan selaras dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ucapan dasar Presiden di Muktamar Pas di Kota Bharu, semalam.

Menurut beliau, keputusan Pas bersetuju secara konsesus memberi laluan kepada PN dan BN bukan bermakna parti itu akan bersara dari politik Sabah, sebaliknya ia bersifat sementara sahaja.

“Langkah kita ambil ini bagi menjayakan hasrat semua parti pembangkang mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh menguntungkan pihak lain dalam PRN ini.

“Kita buat keputusan ini juga selepas mengadakan perbincangan dari hati ke hati atas konsep solidariti pembangkang antara semua parti yang ada di Sabah iaitu BN, Bersatu, STAR, PBS dan SAPP,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Pas Sabah dibantu oleh Pas Pusat akan tetap menggerakkan jentera pilihan rayanya atas kapasiti ‘tidak bertanding’.

Namun, katanya, Pas akan memastikan semua pengundinya keluar mengundi bagi menyokong calon PN dan BN. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: