KUALA LUMPUR – Pembentangan pakej rangsangan yang meliputi usaha memastikan kesejahteraan rakyat bertemakan ‘Kerajaan Prihatin’ sebenarnya melihat satu perubahan penting dalam semangat dan prinsip kerajaan dari menekankan prinsip ‘Pasaran Bebas’ dan ‘Kebebasan Perniagaan’ yang diamalkan di bawah model ‘Anglo-Saxon’ kepada sistem di bawah ‘Model Sosial Eropah’.
Penganalisis Ekonomi, Dr Barjoyai Bardai berkata, jika arah itu berterusan, ia memberi prospek kepada kewujudan sebuah kerajaan yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat secara melata berbanding dengan prinsip memacu pembangunan ekonomi yang pesat.
“Kerajaan ini dengan berani membuat pilihan untuk menyelamatkan nyawa warganya berbanding dengan usaha untuk cuba menyelamatkan ekonomi dari kesan kegawatan.
“Apabila mengumumkan Skim Bantuan Sosial, kerajaan terus-menerus menonjolkan kepentingan memastikan ada cukup makanan di atas meja untuk semua keluarga di dalam negara.
“Ini mengingatkan kita dengan usaha gigih Khalifah Umar Abdul Aziz yang memikul bekalan untuk mencari keluarga yang memerlukan bantuan dan layak memperolehi zakat.
“Dengan jumlah RM290 bilion yang dibelanjakan di dalam tempoh tiga bulan untuk menangani kesan wabak Covid-19 maka Kerajaan PN dilihat sudah menunjukkan pertanggungjawaban dan keprihatinan terhadap warganegara Malaysia di dalam menangani kesan wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (dari aspek ekonomi) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Amir Hussin berkata, ramai yang tidak sedar bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan suatu pendekatan Keynesian yang berani, menyeluruh dan berhemat dengan langkah-langkah yang proaktif anti-cyclical yang kukuh berdasarkan pengalaman dunia sejak tahun 1933.
Katanya, negara lain yang lokek dan konservatif dan tidak mahu memberi subsidi serta sokongan harga kepada rakyat sendiri atau yang mempolitikkan subsidi dan sokongan kuasa beli rakyat tidak akan dapat bertahan lama kerana pengeluaran firma menjana pekerjaan.
“Pekerjaan adalah perlu untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli negara atau rakyat.
“Subsidi kuasa beli atau pendapatan atau subsidi upah untuk ‘menghidupkan’ firma SME itu adalah langkah proaktif yang tepat untuk mengaktifkan ekonomi Malaysia.
“Metod PN yang menunaikan janji ekonomi negara melalui program Prihatin dan langkah-langkah pakej Penjana adalah tepat untuk zaman Covid-19 yang sudah bersama dunia sejak November 2019 dulu,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan