SIPITANG– Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan melihat mana-mana pemimpin atau parti yang menggunakan isu perkauman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah mereka yang kehabisan modal.
Apa yang sepatutnya jelas beliau semasa tempoh berkempen yang dibenarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masing-masing seharusnya mengeluarkan atau menyatakan hasrat bagaimana untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu demi kepentingan rakyat.
“Parti atau pemimpin yang menggunakan isu perkauman…rasis itu adalah orang yang dah kehabisan modal. Nak menutup kelemahan sendiri maka cara di luar norma.
“Kalau nak berkempen kita terangkan kepada orang ramai bahawa parti kita jika diberikan peluang kita akan lakukan satu, dua, tiga, empat dan lima…malah kita mahu supaya siapa juga menang pengakhir cerita nanti rakyat akan menikmati kesejahteraan hidup,” katanya kepada UMNO-Online.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan semasa tempoh berkempen gunalah ianya sebaik mungkin dan jangan sesekali memusnahkan apa yang telah dikecapi hari ini.
“Jangan kita musnahkan negara, keharmonian hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini dalam masa empat belas hari. Berkempenlah secara sihat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pertandingan yang melibatkan beberapa penjuru di dalam satu-satu DUN, beliau berpandangan ianya merupakan satu proses demokrasi yang subur jika dilihat daripada sudut positif.
“Kalau kita lihat dari segi positifnya itu baik dan proses demokrasi subur di Malaysia dan khususnya di Sabah. Sabah boleh jadi satu ‘template’ kepada satu proses demokrasi yang meriah kerana dalam proses sitem pilihan raya di negara ini, kita menyuburkan semangat demokrasi dan sesiapa sahaja boleh berkempen dan menjadi calon.
“Itu sebabnya sekarang ini dah tidak ada waktu bantahan kerana kita tidak mahu menyekat orang daripada menawarkan diri untuk menjadi calon. Ramai yang menawarkan diri tidak mengapa dan masing-masing mempunyai peluang dan masing-masing ada kekuatan.
“Yang pentingnya kita berkempen secara sihat kerana kita berkempen 14 hari dan jangan musnahkan negeri atau negara kita dalam tempoh berkenaan kerana selepas tempoh berkempen esok, kita akan duduk bersama sebagai masyarakat Malaysia terutama masyarakat yang berbilang kaum dan kita perlu meneruskan kehidupan kita,” tambahnya. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan