SUARA MERDEKA
PRESIDEN
UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
menjadi pemimpin parti politik pertama memohon maaf berikutan
peningkatan kes Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah
Ahmad Zahid mewakili semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan.
Menerusi ciapan terbaharu di Twitter, Ahmad
Zahid yang menyatakan kebimbangan mengenai situasi terkini COVID-19 yang
disifatkan membimbangkan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah
baru-baru ini, berkata ia bukan pilihan BN.
“Kedudukan terkini COVID-19 amat merisaukan. Mewakili UMNO/ BN mohon maaf kepada rakyat dan frontliners berikutan peningkatan wabak akibat PRN Sabah yang diadakan bukan pilihan awal BN.
“Ahli dan jentera BN pada PRN Sabah perlu
mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM),” ujarnya.
Zahid turut berpesan agar orang ramai menjaga diri dan berdoa kepada Allah supaya wabak ini akan berakhir
PRN Sabah berlangsung selepas bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Mohd. Shafie Apdal memohon kepada Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin
untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membolehkan
pilihan raya negeri diadakan.
Shafie yang juga presiden Warisan bertemu Juhar di Istana Negeri
Sabah di Kota Kinabalu pagi 30 Julai beberapa jam selepas lawannya,
bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa memiliki sokongan
majoriti ADUN untuk membentuk kerajaan negeri.
Musa, yang merupakan Adun Sibuga mendakwa memperolehi Akuan
Bersumpah (SD) daripada Adun yang menyokongnya, tetapi tidak menyatakan
jumlahnya.
Berikutan itu Suruhajaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan
calon bagi pilihan raya berkenaan pada 12 September dan hari pengundian
pada 26 September.
Dalam pilihan raya itu selain UMNO dan BN turut bertanding adalah
parti Warisan, Bersatu, PKR, DAP dan Amanah. Pemimpin dan penyokong
parti dari Semenanjung dan Sarawak datang ke Sabah bagi menyertai kempen
pilihan raya.
Kes Covid-19 semakin meningkat sejak kempen PRN Sabah berlangsung.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam
memberitahu, kebanyakan penularan kes jangkitan COVID-19 di Semenanjung,
dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September.
Malah, setakat ini, sekurang-kurangnya terdapat dua kluster yang
dikesan di Semenanjung, termasuk Kluster Bakawali di Johor yang kes
indeksnya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 63 kes positif COVID-19
yang dikesan di negara ini dari 20 September lalu mempunyai sejarah
pulang dari negeri itu.
Semalam, negara mencatatkan sebanyak 259 kes baharu jangkitan tempatan dengan kes aktif meningkat ke 1,334 kes.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan