HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Oktober 2020

Cukuplah berebut kuasa!

 Wan Muhammad Azri Wan Deris

ANGKA kes Covid-19 semakin meningkat. Jumlah kes aktif melebihi 1,300 pesakit. Selain membabitkan soal nyawa, rakyat amat bimbang dengan kesan ekonomi dan sara hidup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang dilaksanakan pada Mac lalu, dilaksanakan semula.

Tempoh morotarium secara automatik pula telah tamat.

Tidak dinafikan, Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

Tindakan Datuk Sri Shafie Apdal meminta membubarkan dun negeri menyebabkan PRN Sabah terpaksa diadakan dan ini menjadi pengajaran kepada kita semua termasuklah saya yang terpaksa menanggung risiko berkempen berhadapan dengan pandemik Covid-19 akibat daripada kerakusan merebut kuasa.

Dengan mengambil iktibar atas perkara tersebut, saya berharap agar para pemimpin politik menghentikan terlebih dahulu tumpuan merebut kuasa, yang akhirnya boleh menghumban negara dan rakyat ke kancah yang lebih mengerikan.

Kita tidak mahu krisis menjadi lebih parah akibat tindakan politik di peringkat nasional yang boleh memburukkan lagi wabak Covid-19.

Pada 18 Mei 2020 yang lalu, dalam Titah Diraja semasa merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli-ahli politik agar jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, tatkala sedang berhadapan masalah dan waktu sukar akibat wabak Covid-19.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pemimpin kerajaan dan pembangkang agar dapat memberi tumpuan penuh terhadap usaha membantu rakyat.

Ini masa sukar sekali lagi buat kita semua rakyat Malaysia.

* Wan Muhammad Azri Wan Deris - Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Tiada ulasan: