HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Oktober 2020

Hajiji tekad perhebat momentum pembangunan Sabah

 Bernama

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata perasaan kekitaan dan saling menghormati merupakan nilai budaya hidup yang akan terus disemai supaya kemakmuran dan kesejahteraan dapat dikekalkan selama-lamanya. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor hari ini berkata kerajaan negeri yang baharu bawah pimpinannya bertekad memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri sebagaimana pernah dicapai suatu masa dulu.

Beliau berkata, ini termasuk menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif meliputi pelbagai sektor, sambil memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Kerajaan Sabah juga komited memberi perhatian terhadap sektor kesihatan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkat tahap keselamatan negeri, katanya.

“Lebih penting (ialah) membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin di Istana Negeri hari ini.

Turut hadir isteri Juhar, Norlidah RM Jasni, isteri kepada ketua menteri Juliah Salag, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin, Jeffrey Kitingan dan Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan II Sabah Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Samsuni Mohd Nor dan Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.

Hajiji juga bersyukur Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16 berlalu dengan aman serta tenteram, dan berkat restu serta sokongan Yang di-Pertua Negeri, kerajaan negeri baharu telah dibentuk.

“Saya bersama barisan kepimpinan negeri yang baharu, bertekad dan komited untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan penuh rasa keinsafan, ikhlas dan dedikasi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Juhar ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, dan menurutnya, rakyat Sabah amat menghargai kestabilan serta keharmonian hidup yang telah dikecapi sejak turun-temurun.

“Perasaan kekitaan dan saling menghormati merupakan nilai budaya hidup yang akan terus kita semai serta amalkan supaya kemakmuran dan kesejahteraan dapat dikekalkan selama-lamanya.

“Kerajaan negeri dan seluruh rakyat berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk terus menaungi Sabah tercinta ini,” katanya.

Hajiji mewakili rakyat Sabah mengucapkan selamat ulang tahun kepada Juhar dan mendoakan Yang di-Pertua Sabah itu dipanjangkan umur dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat serta sejahtera.

Ketua menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri, dan berharap mereka akan menyemarakkan lagi semangat serta iltizam untuk terus berbakti, sekali gus memperkukuhkan usaha memajukan dan memakmurkan Sabah.

Tiada ulasan: