HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Oktober 2020

Kecelaruan dalam PN boleh selesai jika semua pihak duduk berunding - Mohd Amar .


KOTA BHARU:
Kecelaruan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) boleh diselesaikan sekiranya semua pihak duduk semeja dan berunding, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Pas, kata Mohd Amar, kekal dengan pendirian menyokong kerajaan PN dan dalam masa sama mengukuhkan Muafakat Nasional.
|
"Memanglah kalau keadaan politik tidak menentu dan tidak stabil maka pilihan terbaik adalah bubarkan Parlimen dan memberi peluang kepada rakyat buat pilihan. Cuma isu sekarang kita dalam keadaan pandemik Covid-19, itu kena fikir.

"Saya rasa boleh selesai, semua ini (pemimpin) orang cerdik-cerdik belaka, kalau bincang dengan baik dan melihat dengan kepentingan lebih luas, bukan kepentingan kelompok atau parti tertentu, melihat kepentingan negara dan rakyat, maka mungkin boleh selesai.

"Bagi saya tidak terlalu kritikal walaupun ada isu, macam Bersatu dengan UMNO, usul undi tidak percaya. Tetapi saya rasa perkara ini boleh selesai," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, pada Rabu.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa politik negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin parti agar mengutamakan kepentingan umum ketika negara sedang berdepan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, semua pemimpin parti perlu meredakan suasana panas politik negara dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, UMNO mengumumkan gencatan politik perlu dilakukan bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Tiada ulasan: