on

PETALING
JAYA: Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak
peduli jumlah kerusi boleh dimenangi parti baharunya yang berasaskan
orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana lebih penting
memberikan impak dalam arena politik, terutama terhadap parti politik
lain.
Beliau berharap Muda, parti baharu yang
ditubuhnya akan memaksa parti lain mengambil kira penglibatan orang muda
supaya relevan kepada pengundi.
Katanya, walaupun parti itu akan berdepan cabaran untuk memenangi kerusi bawah sistem pilihan raya “first-past-the-post”
(FPTP), beliau berharap mereka masih boleh mencetuskan perubahan
terhadap parti politik sedia ada untuk melibatkan lebih ramai orang muda
berperanan sebagai pemimpin.
“Kami akan
memaksa parti seperti Umno untuk bersaing supaya mewujudkan perwakilan
pemuda yang lebih baik. Begitu juga PPBM, DAP, PKR juga perlu
mencalonkan orang muda,” katanya dalam webinar anjuran ISEAS-Institut
Yusof Ishak hari ini.
Beliau berkata, pemimpin pemuda “tidak boleh menjadi token semata-mata” dalam parti itu.
“Ia
tidak boleh menjadi token semata-mata di sini dan sana. Kita perlu
mewujudkan perwakilan pemuda dari peringkat atas hingga bawah.”
Beliau
ditanya pelannya untuk memenangi kerusi bawah sistem FPTP sedia ada,
yang bermaksud walaupun parti itu popular dalam kalangan pemuda, ia
tidak semestinya diterjemahkan menjadi bilangan kerusi.
“Secara
keseluruhannya saya bersetuju. Sistem FPTP sedia ada akan menghukum
parti bukan tradisional tetapi ia tidak mustahil untuk mencapai kejayaan
dalam pilihan raya.
“Kita tidak perlu segera menjadi parti
terbesar atau bertanding paling banyak kerusi,” katanya menambah Muda
akan menggunakan teknologi dan berpandukan maklumat untuk mengenalpasti
kawasan mana berpotensi.
Syed Saddiq turut mengakui ia akan memakan masa untuk memperbaharui sistem pilihan raya supaya ia menjadi lebih inklusif.
“Walau
apa pun, Muda mesti ditubuhkan sekarang untuk persediaan terhadap itu.
Jika bukan semasa PRU15, ia mungkin pilihan raya umum akan datang,
tetapi kerja mesti bermula dari sekarang,” katanya.
Sebelum ini bekas ketua Pemuda PPBM itu mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah sebuah parti berasaskan orang muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan