HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Oktober 2020

Kronologi ringkas pengakuan ‘nombor’ majoriti Anwar .

 HARAKAH DAILY

DALAM masa kurang satu bulan, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengulangi semula babak drama untuk beliau tetap ke kerusi Perdana Menteri yang menjadi impiannya sejak sekian lama.

Namun sepertimana dakwaan dan kegemparan yang dibuatnya sejak 2008 dengan tercatat popular dalam sejarah politik negara sebagai ‘Projek 16 September’, ‘Langkah Kajang’ dan beberapa lagi, tetap berakhir serupa.

Untuk lebih adil, nilai kembali semua kata-kata yang diungkap sendiri oleh Dato’ Seri Anwar dan disiarkan oleh pelbagai media arus perdana.

23 September 2020

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya.

“Konklusif, kuat dan kukuh, saya bukan bercakap mengenai 4,5,6 sokongan tetapi hampir dua pertiga Ahli Parlimen pelbagai parti. Dokumen ini tetap tidak boleh diragui, semuanya akan dimaklumkan sebaik menghadap Agong,” katanya.

8 Oktober 2020

“Oleh itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Tuanku memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober ini, Insya-Allah. Pada majlis mengadap itu, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya.

13 Oktober 2020

“Sebagaimana yang saya janjikan pada sidang akhbar 23 September lalu telah saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokong saya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

“Saya pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan, dan juga budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen dan dalam satu dua hari ini, panggil ketua parti untuk mengesahkan dan juga mendapat input sebaiknya,” katanya.

16 Oktober 2020

“Saya tidak sebut nama mana-mana Ahli Parlimen, jangan salah tafsir. Kalau anda tengok balik kenyataan saya hanya memberi surat dan dokumen-dokumen pada Yang di-Pertuan Agong dan saya tidak pernah sebut nama atau menyenaraikan nama mereka,” katanya.

“Saya juga telah memaklumkan bahawa saya telah menerima surat pengesahan daripada Presiden parti lain yang menyokong saya,” katanya.

“Dalam kenyataan saya, saya hanya mempersembahkan surat dan juga dokumen dan tiada sebarang nama dinyatakan. Don’t put words in my mouth. Sebagai Presiden PKR, saya memaklumkan ada 38 Ahli Parlimen dari PKR yang menunjukkan sokongan kukuh terhadap saya,” katanya.

Kenyataan Istana Negara

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepda beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kenyataan Istana Negara, 13 Oktober.

Propaganda ulangan

Perkara ini menyamai kerancakan semasa Anwar ditemani isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail cuba meyakinkan orang ramai akan berlakunya 30 Ahli Parlimen BN yang akan menyertai beliau dan peralihan kerajaan pada tanggal 16 September 2008.

Beberapa ‘langkah’ mengenai peralihan kuasa pembentukan kerajaan baharu itu malah turut dipotretkan dengan mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, serta akan mendapat kerjasama pihak tentera jika digagalkan kerajaan ketika itu.

Namun, pada tarikh yang cukup dinantikan seluruh rakyat Malaysia itu, sidang media pasangan suami isteri ini lebih menggemparkan apabila Anwar sekadar memberi ‘amaran’ kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diberi tempoh supaya menyerahkan kuasa secara aman.

Malah, pada sidang media itu Anwar langsung tidak menjawab jumlah ‘nombor’ sokongan seperti didakwanya yang terukir juga pada sejarah drama ini sebagai usaha menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’, tetapi dipopularkan kembali Pakatan Rakyat kepada penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional pada Mac baru-baru ini.


Rujukan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/739787/anwar-dakwa-dapat-perkenan-menghadap-agong-selasa-depan

https://www.astroawani.com/berita-politik/anwar-dakwa-ada-sokongan-lebih-120-ahli-parlimen-mohon-agong-diberi-ruang-dan-masa-263326

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/09/623537/saya-dapat-sokongan-hampir-dua-pertiga-ahli-parlimen-anwar

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1882460

https://www.sinarharian.com.my/article/105611/BERITA/Politik/Anwar-selesai-beri-keterangan-di-Bukit-Aman

https://www.astroawani.com/berita-politik/anwar-sahkan-hanya-kemuka-senarai-sokongan-ahli-parlimen-pkr-263854 HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: