PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan menghentikan segera “kegilaan” Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Pengerusinya, Nor Hizwan Ahmad membuat desakan itu susulan kenyataan Anwar sebelum ini yang mendakwa memperoleh majoriti mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
Katanya, ahli Parlimen Port Dickson itu mendahului Yang di-Pertuan Agong dengan membuat pengumuman itu, selain bertentangan dengan Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan.
“Perkara 43 (4) memperuntukan bahawa apabila perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaanya Parlimen dibubarkan oleh Agong.
“Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan Muhyiddin telah jatuh. Siapa Anwar yang sewenang-wenang mengumumkan kerajaan telah jatuh?
“Perhimpunan hari ini adalah untuk membuat laporan polis agar tindakan dapat dilakukan bagi menghentikan “kegilaan” itu.
“Ia tidak boleh biarkan lagi supaya kita sama-sama dapat teruskan kehidupan, bangunkan negara serta keluar daripada pendemik Covid-19,” katanya pada sidang media sambil memaklumkan sebanyak 46 laporan polis dibuat di seluruh negara supaya tindakan diambil ke atas Anwar.
Katanya, tindakan Anwar itu juga secara tidak langsung menimbulkan ketidakstabilan ekonomi dan mengganggu keamanan negara.
“Perbuatan ini menggugat keadaan ekonomi negara yang kini berada dalam fasa pemulihan akibat Covid-19. Sejurus selepas sidang media Anwar pada 23 Sept, pasaran saham Malaysia jatuh merudum.
“Ini adalah suatu bentuk tindakan ganas terhadap keamanan dan ekonomi negara. Maka tindakan sewajarnya perlu dilakukn segera oleh pihak berkuasa. Jika dibiarkan entah berapa kali pengumuman September akan dibuat lag,” katanya.
Hizwan yang juga merupakan setiasaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin turut menyarankan supaya Anwar bersara daripada politik kerana era kepimpinannya telah berakhir dan tidak lagi sesuai untuk mengetuai negara.
“Beliau harus terima kenyataan bahawa zamannya telah berlalu. Beliau memimpin Malaysia masa silam Malaysia dan tidak lagi sesuai untuk masa depan negara.
“Saya juga menyeru beliau untuk memberi sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan dalam membangunkan negara pada masa-masa sukar ini,” katanya.
Pada 23 Sept lepas, Anwar mendakwa mendapat sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.
Beliau mendakwa mempunyai sokongan majoriti hampir 2/3 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Kenyataan Anwar itu dinafikan oleh pemimpin parti yang menganggotai kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan