HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin
Yassin berkata politik identiti atau politik ras dalam kehidupan
masyarakat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini tidak boleh
berterusan walaupun ia tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan.
Muhyiddin
berkata dengan adanya media sosial pada masa ini, masyarakat mudah
‘tersentuh’ apabila isu berkaitan kaum, agama, dan pendapatan
dibangkitkan, menyebabkan ia menjejaskan hubungan antara kaum.
“Masing-masing
ada sentimen, walaupun begitu ia tidak harus membawa kesan tidak baik.
Contohnya pengagihan kekayaan dalam negara, orang Melayu yang menjadi
sebahagian besar komponen dalam masyarakat merasakan belum cukup dibela.
“Mereka merasakan perlukan lebih lagi pembelaan walaupun dahulu sudahpun ada Dasar Ekonomi Baharu, namun apabila kita teliti sekarang, banyak ketirisan dan perkara yang tidak baik berlaku menyebabkan rasa tidak puas hati masih ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Balai Rakyat Makmur Bersama,
di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd
Radzi Md Jidin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin
Abdullah.
Muhyiddin berkata pada masa yang sama, perasaan dan
isu yang sama turut dirasai oleh kaum lain dalam negara seperti Cina dan
India.
“Ada juga kalangan mereka tidak berupaya yang miskin dan berpendapatan rendah. Perasaan sama juga wujud di kalangan mereka.
“Persoalananya apa dasar dan cara kerajaan Perikatan Nasional hendak lakukan supaya dalam keadaan hendak address (menangani) kepincangan dan kelemahan tadi, ia tidak dilihat sebagai satu tindakan yang berbentuk perkauman dan mirip memilih satu kaum sahaja dan melupakan pihak lain,” katanya.
Oleh itu katanya, Dasar Kemakmuran Bersama dilihat antara penyelesaian dalam menangani masalah itu dalam tempoh 10 tahun mendatang, termasuk dalam soal merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Sementara itu, Muhyiddin berkata Dasar Kemakmuran Bersama tidak meminggirkan pembangunan keluarga dan wanita.
Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta agensi di bawahnya sentiasa melakukan libat urus bersama masyarakat untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam soal itu. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan