HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Oktober 2020

Shafie harap pengundi Batu Sapi terus beri kepercayaan kepada Warisan

Shafie (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Liew Vui Keong di Kota 
Kinabalu, hari ini. (Gambar Warisan)

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal berharap pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi akan terus memberi kepercayaan kepada parti itu bagi meneruskan hasrat mendiang Liew Vui Keong agar rakyat di kawasan itu terus terbela.

Katanya, Liew merupakan ahli Parlimen kawasan itu sebelum ini banyak berjasa bukan sahaja kepada negeri Sabah, tetapi juga negara.

“Saya berharap semua masyarakat yang berada di Batu Sapi sentiasa berganding bahu dan berusaha untuk pastikan supaya apa yang dihasratkan oleh mendiang (Liew) dapat diteruskan iaitu memperhebatkan parti Warisan dan juga membela rakyat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat di Batu Sapi yang memberi sokongan padu kepada kita sehingga kita memenangi salah satu kerusi DUN di situ (pada pilihan raya negeri lalu) iaitu di Sekong.

“Teruskan sokongan kepada Warisan, teruskan penyatuan rakyat, teruskan perpaduan dan perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Liew dan keluarganya, di Taman Antarabangsa, di sini, hari ini.

“Saya mengucapkan takziah kepada isteri mendiang, Lindai (Lee) dan keluarga, kita kehilangan salah seorang pejuang kita yang juga pengerusi tetap Warisan.

”Mendiang seorang pemimpin yang banyak berjasa bukan hanya kepada rakyat di negeri Sabah tetapi juga di Malaysia. Mudah-mudahan beliau bersemadi dalam keadaan yang diredai oleh Tuhan,” katanya.

Liew meninggal dunia Jumaat lepas di Hospital Gleneagles di sini, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Beliau sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai ahli Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya umum ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Liew yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Dr Lindai Lee dan 4 anak.

Tiada ulasan: