HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Oktober 2020

UMNO takkan ugut tarik sokongan kerana tahu bakal dihukum pengundi?

Siti Hafidah

 

BERSATU ada kelebihan dari segi masa untuk penuhi syarat UMNO

BANGI – Apakah UMNO tekad menuntut beberapa syarat perjanjian kerjasama baharu apabila pendaftaran Muafakat Nasional (MN) tidak membabitkan Parti Pertubuhan Bersatu Malaysia (BERSATU).

Berdasarkan kenyataan bersama kedua-dua parti, kepimpinan MN bersepakat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, PAS sekadar mengikuti langkah ‘abangnya’ UMNO dalam MN disebabkan perbezaan kerusi dan kemungkinan meraih sokongan menjelang PRU15, justeru lembaran syarat baharu kerjasama dikemukakan.

Katanya, Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 sebenarnya episod titik tolak terakhir yang menyaksikan kesabaran UMNO mencapai kemuncak, meskipun memegang kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional (PN).

“… Penuhi dulu tuntutan yang dikemukakan UMNO, sebelum undangan sama dizahirkan pada Ogos lalu sekali lagi diberikan kepada BERSATU untuk menjadi sebahagian daripada keluarga MN,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam catur politik, Azmi menjelaskan tindakan itu bukan langkah ‘checkmate’ kerana BERSATU masih mempunyai kelebihan dari segi masa untuk melewat-lewatkan keperluan memenuhi syarat UMNO.

Beliau menjangkakan, antara kemungkinan syarat lain UMNO ialah langkah memulangkan kerusi tradisi yang terlepas kepada BERSATU pasca PRU-14.

Katanya, jawatan Kabinet tidak kritikal dan UMNO tidak akan ‘all out’ (bersungguh) menuntut dan menjadikannya sebagai antara syarat penting untuk dipenuhi.

“Kalau lihat keadaan sekarang, UMNO tidak akan ugut tarik sokongan kerana mereka bakal dihukum pengundi sekiranya berlaku PRU-15.

“BERSATU sebenarnya mempunyai masa sehingga hujung tahun untuk memenuhi tuntutan UMNO dan kelebihan ini adalah susulan pandemik kesihatan yang berlaku ketika ini.

“Belanjawan bulan depan juga tidak menunjukkan sebarang isu kerana UMNO akan memberi sokongan berikutan menyedari sebarang tindakan sabotaj bakal menerima hukuman rakyat,” katanya.

Kenyataan terkini MN dikeluarkan tepat seminggu selepas UMNO melalui Biro Politiknya secara sendirian memberitahu parti itu sedang mempertimbangkan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta syarat baru yang akan dikemukakan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam meneruskan kerjasama.

Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan parti pimpinannya, BERSATU, bersetuju menyertai MN dan memeterai kerjasama dengan UMNO dan PAS, selepas menerima undangan sedemikian daripada gabungan berkenaan.

Tiada ulasan: