Astro Awani
Jo-Anna
berkata, jika pemimpin senior gagal mencari jalan penyelesaian,
golongan
muda pasti mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan
masalah. - Gambar
Astro AWANI
KUALA LUMPUR:
Semua pemimpin muda daripada blok pembangkang perlu tampil mencari
jalan penyelesaian kepada masalah percakaran sesama sendiri yang berlaku
dalam kalangan pembangkang.
Timbalan
Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas
berkata, senario politik kini sudah berubah menjadikan orang muda bukan
lagi hanya sekadar menunggu arahan tetapi perlu tampil memberi cadangan,
pendapat dan melaksanakannya.
Tegasnya, jika pemimpin senior gagal mencari jalan penyelesaian, golongan muda pasti mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah berbangkit.
"Sejak
sekian lama pandangan sayap muda telah dipinggirkan dan hanya melakukan
seperti apa yang diarah bukannya terlibat secara aktif dalam ideologi
parti dengan memberikan cadangan, idea serta melaksanakannya.
"Biarlah
semua sayap-sayap muda parti duduk bersama membincangkan situasi
ketidaktentuan politik semasa dan mengukuhkan kembali jambatan yang
menjadi pemisah kepada semua," katanya dalam kenyataan di sini pada
Khamis.
Sebelum ini, dua pemimpin pemuda
iaitu Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Shazni Munir Mohd
Ithnin dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Muhammad Shakir Ameer
menggesa semua parti pembangkang kembali ke meja rundingan untuk membina
momentum baharu bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kesatuan
antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti pembangkang lain seperti
Warisan, Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik
Malaysia (MUDA) kini kelihatan rapuh menyebabkan mereka gagal mencapai
kata putus di Dewan Rakyat.
Jo-Anna berkata, golongan muda lebih mudah menerima perubahan demi kebaikan semua pihak berbanding ahli politik senior yang lebih minat mempertahankan kedudukan masing-masing.
"Ini
adalah masa terbaik untuk gerakan muda setiap parti melakukan apa yang
mereka sepatutnya iaitu mewakili generasi muda dan memastikan ahli parti
masing-masing selari dengan trend politik semasa.
"Seperti
yang selalu kita dengar, golongan muda adalah masa depan kita. Biarlah
generasi muda melaksanakan tugas membawa perpaduan dan ketenangan dalam
situasi politik yang kelam-kabut," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan