HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Disember 2020

Tukar MB bukan sejarah yang dibanggakan - Sultan Perak

Harits Asyraf Hasnan
Tukar MB bukan sejarah yang dibanggakan - Sultan Perak
Saarani menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin Shah di Istana 
Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini. -fotoBERNAMA
 
KUALA KANGSAR: Krisis politik hingga menyebabkan pertukaran kerajaan dan Menteri Besar bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.
 
Sebaliknya, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan perkara itu merupakan cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran.
 
“Sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum keempat belas, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan; perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.
 
“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
 
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah Sultan Nazrin.
 
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
 
Tambah Sultan Nazrin, setiap ahli Dewan Negeri yang dipilih adalah atas kepercayaan rakyat yang meletakkan harapan bahawa ADUN tersebut akan dapat membantu mereka. 
 
Sultan Perak mengingatkan pemimpin politik bahawa tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan. - Foto Jabatan Penerangan
Sultan Perak mengingatkan pemimpin politik bahawa 
tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang 
ringan atau diringankan. - Foto Jabatan Penerangan
 
[LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
 
BACA: Zahid Hamidi mohon maaf, Perikatan Nasional setuju Saarani dicadang sebagai MB Perak
Mereka diharapkan untuk menambah baik kawasan tempat tinggal, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
 
“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh ADUN Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama.
 
“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
 
"Kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.
 
“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
 
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda.
 
Justeru, baginda mengingatkan para pemimpin politik bahawa tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan.
 
Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah hari ini. - Foto Jabatan Penerangan
Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat 
Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani 
Mohamad di Istana Iskandariah hari ini. - Foto Jabatan 
Penerangan

Tiada ulasan: