HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2021

Ada ruang perbahasan pada sidang khas Parlimen - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
Ada ruang perbahasan pada sidang khas Parlimen - Takiyuddin
Menurut Takiyuddin, kebenaran untuk ahli dewan berbahas juga merupakan saranan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri. - Gambar fail/BERNAMA
 
KOTA BHARU: Ada ruang perbahasan dalam sidang khas Parlimen yang bakal berlangsung bermula 26 Julai hingga 2 Ogos nanti.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan demikian sebagai menjawab dakwaan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa sesi sidang khas itu hanya semata-mata taklimat dari kerajaan.
 
"Yang Dipertua Dewan Rakyat juga telah membenarkan ahli YB meminta penjelasan dan pandangan dari menteri… jadi tak timbul penerangan sebelah pihak.
 
“Kita ada lima orang menteri termasuk Perdana Menteri yang akan beri penerangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Tambahnya, sidang berkenaan mempunyai tiga agenda yang ditetapkan iaitu membentangkan Proklamasi Darurat, Proklamasi Darurat berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Gerik di Perak dan Bugaya di Sabah dan juga penerangan mengenai Darurat COVID-19, membabitkan soal kesihatan, vaksinasi dan sebagainya.
 
Katanya dalam agenda ketiga penerangan menteri-menteri berkaitan masalah Darurat dan COVID-19 adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i).
 
Untuk itu, jelasnya Ahli Parlimen dibenarkan berbahas dan bertanyakan soalan serta pandangan isu yang berbangkit berdasarkan agenda yang ditetapkan.
 
Tambahnya, kebenaran untuk ahli dewan berbahas juga merupakan saranan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.
 
Terdahulu Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini mendesak kerajaan Perikatan Nasional agar membuka ruang perbahasan pada sidang itu nanti.

Takiyuddin turut menjelaskan, jumlah kehadiran ahli di dewan nanti pada dasarnya kesemua ahli dewan boleh hadir kerana persidangan itu secara fizikal dan bersemuka.
 
Namun, jelas beliau semuanya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tiada ulasan: