Bernama
Saifuddin
berkata penggunaan perkataan 'penerangan daripada menteri' pada takwim
Parlimen adalah sebagai istilah dan tidak bermaksud 'wakil rakyat hadir
ke Parlimen sekadar untuk mendengar penerangan kerajaan'. - Gambar
fail/BERNAMA
KUANTAN:
Ahli Parlimen boleh mencelah dan bertanya soalan malah berbahas pada
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama lima hari mulai
26 Julai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin
Abdullah.
Beliau berkata penggunaan
perkataan 'penerangan daripada menteri' pada takwim Parlimen adalah
sebagai istilah dan tidak bermaksud 'wakil rakyat hadir ke Parlimen
sekadar untuk mendengar penerangan kerajaan'.
"Istilah
"Penerangan daripada menteri'" itu adalah bermaksud menteri akan
menyampaikan penerangan tentang sesuatu dan setakat yang saya tahu,
standing orders (peraturan-peraturan mesyuarat) membenarkan Ahli
Parlimen untuk mencelah dan bertanya.
"...
dan terpulang kepada Speaker jika hendak memberikan masa untuk
dibahaskan. Bukan bermakna seseorang menteri itu bercakap dan yang lain
mendengar sahaja," katanya pada sidang media secara maya selepas
menyampaikan sumbangan bakul makanan sekitar Parlimen Indera Mahkota, di
sini hari ini.
Saifuddin berkata demikan
semasa diminta mengulas tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang
yang berpendapat lebih baik sidang khas Parlimen pada hujung bulan ini
diadakan secara maya termasuk secara 'Facebook live' jika, sekadar
mendengar kuliah menteri.
Saifuddin
juga mengalu-alukan soalan termasuk daripada warganet yang kurang jelas
mengenai penggunaan istilah 'penerangan daripada menteri' dan
menyifatkan ia sebagai perkembangan sihat yang memberi peluang kepada
beliau dan teman-teman kerajaan untuk memberi penjelasan sebenarnya.
Menerusi
program hari ini, selain menyantuni individu yang layak, sumbangan
bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi
(PEMULIH) itu turut diberikan kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia
(Huazong) Pahang melalui Pengerusinya Datuk Seri Ng Chong Keong.
Dalam
perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota
berkata semua 6,000 bakul makanan menggunakan peruntukan RM300,000 di
bawah PEMULIH yang diterimanya sudah selesai diagihkan hari ini, sejak
dimulakan pada 10 Julai lepas.
Bakul
makanan bagi Parlimen Indera Mahkota, menurut Saifuddin, berisi 11
barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, milo, minyak masak
dan susu menggunakan peruntukan PEMULIH,
manakala sumbangan pelitup muka
dan cecair basmi kuman menggunakan peruntukan Ahli Parlimen.
"Selepas
ini, kita akan teruskan dengan pemberian bakul makanan sumbangan
pelbagai pihak lain, termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) yang
menyediakan bakul makanan untuk semua 222 kawasan Parlimen dengan setiap
satu akan menerima 500 unit.
"Sebagai
Pengerusi PN Negeri, saya telah bermesyuarat dengan pihak terlibat dan
melantik koordinator untuk pengagihan bakul makanan ini, melibatkan
tujuh daripada PAS, Bersatu (enam) dan seorang daripada Gerakan,"
katanya.
Saifuddin yang juga Ketua Badan
Pimpinan Bersatu Pahang mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) untuk
memaklumkan pihaknya jika ada individu yang layak menerima bantuan bakul
makanan walaupun tidak dikategorinya sebagai B40, mengambil kira kesan
pandemik COVID-19.
Katanya, sebelum ini
terdapat data mengenai penerima B40 daripada pelbagai pihak termasuk
sistem e-Kasih, namun kini akibat pandemik yang berpanjangan, ramai yang
telah kehilangan mata pencarian dan mereka ini tidak dimasukkan dalam
data berkenaan.
"Kita tahu semakin ramai
terkesan kerana jumlah yang menelefon atau walk-in ke Pusat Khidmat
Parlimen Indera Mahkota menunjukkan peningkatan, menyebabkan kita
sentiasa menambah barangan di gerobok asnaf termasuk meletakkan susu
bayi dan lampin pakai buang," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan