Blok pembangkang tidak perlu mengadakan mesyuarat baharu untuk memilih calon Perdana Menteri (PM) selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika UMNO bersetuju duduk di bawah ‘khemah besar’ bersama Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana pemerhati politik melihat Anwar dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi anak muridnya, tidak layak menjadi PM Malaysia.
Menurut mereka pertukaran pucuk pimpinan negara tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat sedang berdepan pandemik Covid-19 yang tidak pernah dirasai mana-mana pemimpin dunia pun sebelum ini. Lagi pula tiada pemimpin lain yang layak untuk menghadapi keadaan pandemik itu sekarang.
Sebelum ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi kenyataan PH perlu bermesyuarat semula jika mahu memilih calon lain sebagai PM. Kenyataan itu timbul setelah wujud spekulasi mengatakan Zahid memberitahu Majlis Tertinggi (MT) bahawa UMNO akan diberi jawatan PM sekiranya membentuk kerajaan baharu bersama PH.
Mengulas gesaan PM Malaysia ditukar, pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan melihat tidak ada pemimpin lain sekarang ini yang mampu mentadbir negara selain Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berpendapat menukar Muhyiddin dengan orang lain bukan jalan penyelesaian yang terbaik untuk menstabilkan politik negara kerana tiada calon PM di kalangan mana-mana parti politik sekarang.
“Malah, Pakatan Harapan pun tidak seutuh yang disangka untuk membentuk kerajaan baharu sekalipun memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.
“Cara yang boleh diambil untuk menstabilkan situasi politik negara sekarang adalah mengekalkan status quo kerajaan sedia ada dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri dan sokongan diberi kepada semua pihak termasuk pembangkang.
“Kedua, seseorang boleh dilantik untuk mengurus negara tetapi dengan syarat tidak berkait dengan unsur politik. Memang peranan Perdana Menteri itu penting dalam memberi arah tuju negara, tetapi, kalau Perdana Menteri sendiri terumbang-ambing, maka semua pihak akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung penyelesaian krisis politik untuk mewujudkan kerajaan stabil dengan mengekalkan pentadbiran sekarang dan cuma menukar PM.
Memetik laporan Utusan hari ini, penganalisis politik dan keselamatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga sependapat bahawa menukar PM tidak sesuai ketika pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.
Katanya, tiada seorang pemimpin negara yang pernah berdepan krisis kesihatan berskala besar seperti Covid-19 dan pertukaran kepimpinan hanya mendorong kepada masalah lebih besar dan mengundang kemarahan rakyat.
“Jadi, ketika ini, semua pihak perlu mencapai konsensus bersama berpaksikan matlamat ingin keluar daripada pandemik dan tiada bentuk pertukaran besar dalam negara,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib pula berkata, kelemahan disebabkan seseorang individu tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan kerajaan.
“Contohnya, kalau ada kelemahan dalam pengurusan vaksin Covid-19 dan jika ada solusi untuk mempercepat dan lebih tersasar, maka boleh menyelaras semua strategi tanpa perlu menukar Perdana Menteri.
“Begitu juga dalam politik negara, carilah kaedah lain yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik tanpa menukar kedudukan sesiapa,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan