Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan beliau tidak bersedia untuk bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mewakili mana-mana parti, selepas pandemik Covid-19 berakhir.
“Saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum untuk mana-mana parti,” katanya.
Tengku Zafrul menganggap kesediaannya menduduki kerusi Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘perkhidmatan nasional’ untuk membantu rakyat.
“Saya berada di dalam (bank) CIMB… menggerakkan seluruh operasi kumpulan (perbankan),” katanya.
Katanya beliau hanya berhasrat untuk membantu sesama rakyat Malaysia yang memerlukan ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
“Saya tidak mempunyai rancangan untuk memasuki politik pada masa ini, dan fokus saya adalah untuk membantu Malaysia dalam mengatasi krisis yang tidak pernah terjadi sebelumnya,” katanya.
Sebelum ini blok pembangkang mempersoalkan kehadiran beliau di Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai Baru di dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai di ibu negara, untuk menyampaikan sumbangan 500 bakul makanan bernilai RM50,000 kepada 10 masjid dan surau di kawasan itu.
Gambar beliau menyampaikan bantuan itu tular dan blok pembangkang terus menjadikan kehadiran beliau di masjid itu sebagai isu politik dengan membangkitkan persoalan kemungkinan Tengku Zafrul akan bertanding di Parlimen Lembah Pantai pada PRU15 nanti mewakili Bersatu.
Isu dimainkan DAP itu tidak semena-mena berjangkit pula kepada UMNO yang mengatakan parti itu bersedia meletakkan calon untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai.
Namun, beberapa hari selepas itu, Tengku Zafrul berada pula di Masjid Al Hasanah, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi untuk majlis sama – memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama. Tetapi tidak ada pula pihak yang menjadikannya sebagai modal politik mereka.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata beliau ikhlas, biarpun ada yang mengkritik kerana dikatakan gagal memberikan bantuan ekonomi yang mencukupi ketika krisis.
“Saya rasa tidak ada (siapa) yang benar-benar tahu apa yang harus dibuat (menangani pandemik). Tidak ada buku teks yang saya boleh rujuk.
“Oleh itu, adalah penting kita melakukan yang terbaik … (dan) kita semua bersatu untuk memenangi perang melawan Covid-19,” katanya yang telah menemui beberapa pemimpin blok pembangkang termasuk DAP dan PKR untuk mendapat pandang berhubung usaha memerangi Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan