HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Julai 2021

Boikot atau tidak hadir sidang Parlimen boleh hilang kerusi – Faiz

Manzaidi Mohd Amin
MGF22112018_FORUM-ICERD07
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang memboikot atau tidak hadir pada Persidangan Khas Parlimen pada 26 Julai ini boleh diisytiharkan kerusi mereka kosong.

Peguam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, Perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, boleh mengisytiharkan kerusinya kosong.

Justeru, kata beliau, tindakan tidak hadir atau boikot boleh mendatangkan risiko kepada Ahli Parlimen berkenaan, kecuali dengan kebenaran Dewan Rakyat.

“Implikasi kepada peruntukan ini adalah jika Ahli Parlimen itu memboikot sidang Parlimen, mereka dianggap tidak mendapat kebenaran bercuti untuk tidak hadir.

“Dengan itu, mereka boleh kehilangan kerusi jika tidak hadir sekali lagi ke sidang Parlimen kerana memboikot atas alasan yang sama.

“Maka, tidak logik untuk memboikot sidang Parlimen kali ini atas alasan jumlah kehadiran yang dihadkan, tetapi tidak pula memboikotnya dalam sidang seterusnya jika peraturan sama berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas ketidakpuasan hati Ahli Parlimen pembangkang berhubung kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon Ahad lalu, yang mencadangkan sidang Parlimen minggu depan dihadkan kepada 80 Ahli Dewan Rakyat sahaja.

Mohd Rashid dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Whip setiap parti politik dengan cadangan pecahan kehadiran adalah 44 Ahli Parlimen kerajaan dan 36 lagi dari pembangkang.

Menurut Faiz, langkah terbaik adalah membawa isu itu ke mahkamah jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertegas mahu mengehadkan jumlah kehadiran Ahli Parlimen.

Katanya, tindakan lemah kerajaan PN itu mencetuskan satu lagi krisis Perlembagaan dan mahkamah adalah premis terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan dan integriti mahkamah untuk meletakkan perlembagaan pada tempatnya supaya Keluhuran Undang-Undang sentiasa dijunjung dan keyakinan rakyat pada sistem demokrasi negara dikembalikan.

“Tambahan pula cadangan itu bertentangan dengan perlembagaan, yang mana mengikut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Dewan Rakyat adalah 222 Ahli Parlimen.

“Mengehadkan jumlah Ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat adalah tidak berperlembagaan kerana peraturan ini mengehadkan hak dan tugas hakiki mereka,” katanya.

Kata beliau, jika sekali pun wujud kebimbangan pandemik Covid-19, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak memberikan kuasa kepada Speaker untuk membuat peraturan sedemikian.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan mengatasi dan peraturan mengehadkan kehadiran Ahli Parlimen adalah jelas salah dan tidak berperlembagaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: