HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Julai 2021

Bung Moktar minta segerakan penghantaran bekalan vaksin ke Sabah

MGF18012020_PUSAT-PENJUMLAHAN-UNDI-PRK-KIMANIS_39
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menyegerakan penghantaran vaksin ke negeri itu bagi memastikan proses vaksinasi kepada rakyatnya berjalan lancar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan data daripada JKJAV, penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri itu amat rendah iaitu 13.4 peratus daripada populasi penduduknya.

Kata beliau, penduduk Sabah sehingga tengah malam tadi baharu 509,089 menerima dos pertama, manakala 368,267 dos kedua daripada anggaran penduduk kira-kira 3.91 juta.

Menurutnya, Sabah masih ke belakang berbanding negeri lain dan keadaan itu amat membimbangkan dengan peningkatan kes positif Covid-19 yang direkodkan sejak beberapa minggu lalu.

“Kita telah melaksanakan pelbagai pendekatan seperti membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

“Tetapi, kalau bekalan vaksin tidak mencukupi, sudah tentu menyukarkan kita untuk mencapai sasaran vaksinasi.

“Oleh itu, kerajaan pusat dan JKJAV perlu segera menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang antara negeri-negeri lain dalam soal pemberian vaksin,” katanya yang dipetik UMNO Online, hari ini.

Bung Moktar berkata, selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat, beliau meminta kerajaan pusat menyegerakan penghantaran bekalan vaksin ke negeri itu bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih ramai rakyatnya.

Kata beliau, soal berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan dan tidak boleh dilengahkan kerana negara berdepan dengan ancaman virus Covid-19.

“Kita sekarang berdepan dengan virus yang lebih berbahaya berikutan penemuan varian baharu yang mudah menular.

“Justeru, kita perlu segera membentuk imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: