Astro Awani
Lajim
berkata, pertukaran kerajaan pada masa sekarang hanya menyebabkan
banyak masa untuk menangani isu pandemik COVID-19 terbuang. - Gambar
fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR:
Tindakan menukar kerajaan ketika seluruh negara masih berdepan pandemik
COVID-19 dilihat sebagai tidak wajar selain tidak menjamin masalah
dihadapi negara dapat diselesaikan segera.
Ahli
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) Datuk Seri Lajim Ukin berkata, semua parti politik disaran
supaya menunggu sehingga tempoh Parlimen sekarang tamat pada 2023 jika
mahu menukar kerajaan sedia ada.
"Tempoh
itu sudah tidak lama lagi kerana hanya berbaki kira-kira setahun
setengah saja lagi. Langkah itu lebih baik berbanding mengambil
tindakan menukar kerajaan ketika seluruh negara masih berdepan pandemik
COVID-19.
"Saya
berpandangan dalam keadaan sekarang sepatutnya wakil rakyat perlu
melihat yang mana keutamaan mereka, sama ada mahu mendapatkan jawatan
atau rakyat.
"Rakyat pasti akan menilai
apa yang wakil rakyat lakukan untuk mereka, tidak kiralah sama ada wakil
rakyat pembangkang atau kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada
Ahad.
Beliau
mengulas mengenai kemungkinan ada usaha untuk menukar kerajaan apabila
Parlimen bersidang dalam masa terdekat berikutan titah Yang di-Pertuan
Agong baru-baru ini yang menzahirkan pandangan supaya Parlimen segera
bersidang.
Sebelum ini, kerajaan
menjelaskan bahawa sidang khas Parlimen akan diadakan sebelum 1 Ogos
depan dan perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Ahli
politik veteran Sabah itu berkata, pertukaran kerajaan pada masa
sekarang hanya menyebabkan banyak masa untuk menangani isu pandemik
COVID-19 terbuang kerana perlu membentuk semula Kabinet dan pelbagai
jawatankuasa berkaitan.
"Kita juga kena
ingat, bolehkah selesai masalah kalau tukar kerajaan? Banyak lagi perlu
difikir, lantik itu ini..bagi saya tunggu saja pilihan raya, tidak lama
lagi, setahun setengah saja lagi," katanya.
Lajim
yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort berkata, persidangan khas
Parlimen sebelum 1 Ogos depan perlu dimanfaat sepenuhnya untuk
membahaskan perkara berkaitan darurat, sekatan pergerakan, vaksin
COVID-19, perbelanjaan kerajaan dan lain-lain perkara penting yang
berkaitan.
Katanya, ramai rakyat keliru
mengenai bila sepatutnya Parlimen boleh bersidang berikutan kenyataan
bercanggah yang disuarakan pelbagai pihak berhubung perkara itu.
"Saya
sendiri tidak faham kenapa ada perbezaan pendapat dalam kalangan pakar
undang-undang, ada yang kata tunggu Perdana Menteri, ada kata Yang
di-Pertuan Agong lebih berkuasa dalam tempoh darurat.
"Semua
keliru dan saya pun keliru kerana mengikut kebiasaan, persidangan
Parlimen hanya boleh diadakan selepas diberikan notis sekurang-kurangnya
28 hari, tidak boleh notis 24 jam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan