HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Julai 2021

Dalam satu klip audio bocor, Rafizi dedah wajah sebenar DAP


Bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Naib Presiden PKR yang bersara, Rafizi Ramli yang suatu masa dahulu menjadi ikon blok pembangkang mendedahkan wajah sebenar rakan parti komponen mereka, DAP dalam satu perbualan tertutup dipercayai dengan rakannya yang dibocorkan kepada Agenda Daily.

Agenda Daily menerima satu emel yang dihantar kepada kami mengandungi satu klip audio mirip suara bekas Ahli Parlimen Pandan itu memberi penerangan berhubung hala tuju DAP dan ideologi politiknya yang mempergunakan pemimpin Melayu demi kepentingan politik mereka.

Untuk rekod, Rafizi baru-baru ini juga berselisih faham dengan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan secara terbuka dalam Twitter, ia mendapat perhatian umum susulan langkahnya yang dilihat sering bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).

Dalam klip audio tersebut, Rafizi mendakwa DAP sudah berjaya merosakkan ramai pemimpin Melayu dalam kerjasama politik mereka, ia bermula pada 1990 semasa mereka menjalinkan kerjasama politik dengan parti Semangat 46 yang sudah dibubarkan dibawah gabungan dikenali Gagasan Rakyat.

“Kalau kau perhatikan DAP punya kerjasama politik ni kan, DAP ni dah merosakkan lebih kurang lima atau enam kepimpinan MELAYU tau. Dia kerja dia, dia lompat daripada satu pimpinan Melayu, ke satu pimpinan Melayu, ke satu pimpinan Melayu yang lain.

“Contohnya dia (DAP) mula dulu-dulu dia dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah). Ku Li lah segala hebatnya. Pastu bila Ku Li dah tak boleh deliver votes (memberi undi) dekat dia, DAP lari,” kata Rafizi dalam klip audio tersebut.

Jelas Rafizi, susulan kegagalan kerjasama dengan Semangat 46 itu, DAP kemudiaannya menjalinkan kerjasama politik dengan PAS pada 2008 bersama gabungan dikenali Pakatan Rakyat waktu itu namun ia tidak bertahan lama dan berlaku perpecahan yang dikatakan berpunca daripada DAP sendiri.

“Pastu bila dia perlu dia (DAP) pergi peluk PAS, dia pergi PAS pulak, haaa bagus lah Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lah, ini lah.

“Dia pun dah jadi parti yang besar sebab orang Melayu duk sokong semua. Dah tu bila dia dah buat hal dia, bila nampak lari sikit, dia menolak PAS. Dengan PKR pun macam tu,” katanya lagi.

Menurut Rafizi lagi, pandangan orang Melayu yang melihat parti tersebut hanya mahu menunggang Melayu adalah tepat dan mendakwa DAP tiada keikhlasan dalam menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti Melayu.

“So, pandangan Melayu, which is not wrong (ia tidak salah) tau, DAP ni hanya berminat untuk menunggang Melayu je!

“So, sapa yang, err.. dia tak ikhlas! There’s no sincerity dalam friendship. Sebab tu diorang lagi suka MCA! Dia bukan kira siapa lagi Cina pun. Bagi dia MCA ni tak tikam belakang. And MCA ni nampak lagi ikhlas, boleh bawak berbincang,” terang Rafizi.

Lebih mengejutkan dalam klip audio tersebut, Rafizi mendakwa DAP selepas berjaya mempergunakan pemimpin Melayu yang bersekutu dengan mereka akan membuangnya seolah-olah tidak berguna lagi.

“DAP ni kalau dia cakap depan kita, Melayu.. dia cakap saja, belakang ada pisau and lepas dia dah guna kau, dia akan campak kau! And that is actually not wrong!” katanya.

Rafizi juga membangkitkan berhubung kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan juga dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini yang diangkat mereka sebagai calon Perdana Menteri sekiranya berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“You cannot blame pandangan Melayu keseluruhan kalau dia berpandangan begitu. Sebab memang begitu pun! Lepas satu, satu, tengok! Sekarang dia dah dengan Anwar, dengan Anwar.. Nanti bila dia nak guna Mahathir, dia pergi Mahathir pulak.

“So, dia sebab DAP ni, dia punya kegilaan untuk menjunjung… semata-mata untuk dapat undi Melayu!” ujarnya lagi.

DAP yang sebelum ini paling lantang menentang rejim Dr Mahathir membuat kejutan apabila bekerjasama dengan Bersatu dibawah satu payung sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam sejarah politik negara.

Kemenangan itu menyaksikan pemimpin DAP buat kali pertama berjaya dilantik dalam Kabinet dan memegang pelbagai portfolio penting dalam kerajaan.

Ia bagaimanapun hanya bertahan selama 22 bulan pemerintahan PH selepas Dr Mahathir meletak jawatan ekoran tekanan daripada kem Anwar yang mendesak supaya peralihan kuasa disegerakan.

Selepas itu, kerajaan baharu dibentuk hasil kerjasama antara Bersatu, UMNO dan PAS serta beberapa parti di Sarawak dan Sabah yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada penghujung klip audio tersebut, Rafizi menekankan tindakan DAP tersebut yang mempunyai agenda dan matlamat politik tersendiri menimbulkan syak wasangka orang Melayu yang meragui keihklasan mereka.

“Kalau sokong PAS, PAS lah, sampai peluk-peluk semua.. Actually it is not good tau. So, Melayu punya pandang ialah DAP ni memang ada agenda dan sebab itu non-Malay dalam PKR, tak ada isu.

“Kita tak ada benci non-Malay dalam PKR. It’s only DAP. Sebab apa? Sebab rekod dia tu, ialah memang tak ada keikhlasan. And kita yang dalam PKR, memang kita tau dia (DAP) tak ihklas!”

Tiada ulasan: