HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Julai 2021

UMNO desak keluar KWSP kerana bantuan kerajaan tak cukup – Shahril

Manzaidi Mohd Amin
MGF17102019_FORUM-KELANGSUNGAN-MEDIA-CETAK_22
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa rakyat perlu diberi duit mencukupi untuk meneruskan kehidupan.

Beliau menjelaskan, tujuan UMNO mendesak kerajaan supaya membenarkan rakyat menggunakan duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana bantuan diberikan kerajaan tidak mencukupi.

“Kita sebolehnya tidak mahu rakyat guna wang KWSP kerana itu untuk masa depan mereka, tetapi apabila bantuan kerajaan tidak cukup dan beri pelbagai alasan, kita terpaksa desak berikan duit simpanan (KWSP) kepada rakyat.

“Cuba anda bayangkan, bantuan RM1,800 kepada isi rumah untuk berbelanja selama tujuh bulan, bantuan kepada orang bujang RM350 untuk beberapa bulan.

“Jumlah dan syarat ini tidak masuk akal,” katanya dalam Skop MG bertajuk, “Sudah Cukupkah Kerajaan Bantu Rakyat? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube MalaysiaGazette malam ini.

Begitu juga, tegas beliau, UMNO mendesak kerajaan supaya membenarkan bank memberi moratorium , bukan kerana untuk membebankan mereka, tetapi ia adalah keperluan penting rakyat.

Katanya, kalau rakyat diberi bantuan mencukupi sepanjang tempoh dikurung akibat PKP sejak tahun lalu, tidaklah mereka meminta duit sendiri.

“Kalau boleh kita tidak mahu pun rakyat usik duit KWSP, tetapi apabila kerajaan bagi duit tidak cukup, kita terpaksa minta rakyat ambil wang mereka sendiri.

“Itu yang mendorong kerajaan perkenalkan i-Citra, i-Sinar dan terkini i-Lestari sebagai kaedah untuk rakyat keluarkan duit mereka.

“Tetapi hairannya, kenapa kerajaan begitu takut nak berbelanja? Bank Negara Malaysia (BNM) pun masih dalam kerangka takut nak belanja, tak ada keberanian nak melihat akaun negara dalam keadaan macam mana,” katanya.

Beliau turut membidas kerajaan seperti tidak berpijak di bumi nyata dalam membantu rakyat.

Tambahan pula, ujar Shahril, ramai pemimpin di atas tidak sedar atau tidak mahu merasai apa yang rakyat di bawah rasai.

“Mereka tidak turun ke bawah, kalau turun tentu mereka tahu bantuan yang disalurkan selama ini tidak cukup.

“Tetapi, kerana duduk di atas, tidak turun, mereka anggap bantuan itu lebih daripada mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: