Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan semut, tupai dan kera sebagai naratif bagi menunjukkan keadaan di mana ada individu yang mahu merebut sesuatu dalam keadaan penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa.
Beliau turut membidas segelintir pihak yang hanya asyik mencari kesalahan dan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa mempedulikan keperluan rakyat, malah lebih malang jika ada yang tertipu oleh mereka.
“Walaupun adanya pelbagai bentuk sekatan, namun kerajaan tidak mematikan aktiviti kelangsungan hidup dengan cara yang terkawal. Hanya mereka yang kerjanya mencari kesalahan dan kelemahan sahaja, memungut senarai sekatan tanpa peduli akan keperluan untuk kegiatan berjalan di lapangan rakyat,” katanya.
Beliau berpendapat kerajaan PN telah mengambil langkah tepat dengan menentukan sempadan kegiatan ekonomi bagi menjaga keselamatan nyawa seluruh warga Malaysia, tanpa menjejaskan keperluan hidup mereka.
Memetik tingkah laku semut yang diilhamkan oleh Allah dengan masuk terlebih dahulu ke dalam lubang dan menangguhkan buat sementara waktu memungut rezeki, beliau menjelaskan dalam keadaan situasi berbahaya, kerajaan PN telah melakukan kawalan tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara.
“Apabila dibuat pilihan antara setiap keutamaan, maka hendaklah dilakukan mengikut tertibnya, sepertimana yang ditunjukkan pengajarannya oleh binatang semut yang diilhamkan oleh Allah SWT dengan mengarahkan pengikutnya agar memasuki ke dalam lubang terlebih dahulu.
“Sekali gus memilih untuk menangguhkan buat sementara waktu, peluang untuk memungut rezeki makanan yang akan berselerak di lembahnya.
“Namun begitu, ramai juga semut yang mati dalam gula dan ada juga manusia yang seperti itu. Binatang tupai dan kera memilih buah-buahan yang baik, namun ada manusia yang mencari buah-buahan yang buruk untuk dijual.
“Sangat malang kalau ada orang yang terus tertipu membelinya dan terpengaruh dengannya,” katanya dalam Minda Presiden PAS bertajuk ‘Covid-19: Naratif keselamatan dan ekonomi’.
Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan kawalan dan sekatan dikenakan kerajaan bertujuan mengelakkan daripada lebih ramai menjadi mangsa wabak dan mengawal pandemik Covid-19 daripada merebak sehingga mendatangkan bahaya secara meluas.
Katanya kerajaan PN telah menggerakkan kakitangan kesihatan, pasukan keselamatan dan anggota-anggota lain berada di barisan hadapan, bagi mencegah, mengawal pergerakan dan memberi rawatan yang melibatkan kerajaan dan masyarakat.
“Kerajaan PN juga telah bertindak melakukan kawalan tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara, disertakan dengan peruntukan bantuan yang besar jumlahnya yang disalurkan secara langsung kepada mereka yang paling berhajat dalam tempoh keadaan darurat ini,” katanya.
Demikian juga katanya dalam sejarah Islam, pernah berlaku satu ketika para ulama terdahulu mengarahkan penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah di masjid dan pelaksanaan ibadat haji di Makkah dengan sebab berlakunya peperangan dan bencana alam.
Akan tetapi, tidak ditinggalkan pelaksanaan solat wajib di rumah masing-masing, serta mengizinkan untuk keluar bagi mendapatkan keperluan hidup seperti makanan dengan kawalan yang sangat rapi sehingga selesainya wabak dan bencana yang lain, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan