HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Julai 2021

Selamat tinggal Parlimen – Chin Tong

 Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN

LIEW CHIN TONG

KUALA LUMPUR: “Saya berharap satu hari nanti semua Senator dipilih secara terus oleh pengundi melalui peti undi seperti mana Senator di Australia”.

Itu kenyataan daripada Ahli Dewan Negara dari DAP, Liew Chin Tong susulan perkhidmatannya sebagai Senator tamat berkuat kuasa esok sebelum Parlimen sempat bersidang.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, pemilihan Senator di negara ini juga sepatutnya mewakili kepentingan negeri masing-masing terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mengucapkan selamat tinggal sementara kepada institusi tertinggi Parlimen yang pernah diberi penghormatan untuk berkhidmat sejak pertama kali dipilih menjadi ahli Parlimen pada 2008.

“Dengan restu dan pencalonan oleh DAP, saya berniat untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti dan berharap pengundi mengembalikan saya ke Dewan Rakyat sekali lagi.

“13 tahun lalu, pengundi di Bukit Bendera, Pulau Pinang memilih saya ke Parlimen. Pada 2013, bersama-sama Lim Kit Siang dan Teo Nie Ching, saya berpindah untuk bertanding di Johor dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Kluang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Tong menyandang jawatan Senator sejak 17 Julai 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Razak tumbang oleh Pakatan Harapan (PH).

Tempoh perkhidmatan jawatan Senator adalah tiga tahun dan hanya boleh dipilih atau dilantik semula sekali sahaja melalui Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain Chin Tong, perkhidmatan Senator Datuk Marzuki Yahya (Parti Pejuang Tanah Air); Senator Datuk Ismail Ibrahim (UMNO); Senator P. Waytha Moorthy (Malaysian Advancement Party) dan Senator Datuk Husain Awang (Pas) turut berakhir esok.

Selepas sidang mesyuarat khas Parlimen pada 26 Julai ini, sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 diputuskan untuk diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini. Ketika ini, belum ada kenyataan jelas jika Dewan Negara bersidang pada 26 Julai atau pada tarikh lain.

Dalam pada itu, kata Chin Tong, sesetengah pihak kecewa kerana ahli politik jarang berbahas mengenai dasar-dasar kerajaan dengan baik sebaliknya terus bertelingkah sesama sendiri seperti kanak-kanak nakal.

“Saya seorang yang demokratik. Saya tak percaya dengan permainan yang memenangkan seseorang hanya dengan menyebabkan orang lain kehilangan atau berpecah.

“Tiada keperluan untuk menyingkirkan seteru politik walaupun UMNO mahu menghabiskan DAP/Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan (PH) sejak beberapa dekad lalu. Hakikatnya, masih ada yang menyaksikan usaha untuk menyingkirkan parti ini gagal,” katanya.

Tiada ulasan: