HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Julai 2021

Kalau dikatakan gagal, gagal aspek mana – Shahidan

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
 

ARAU: “Jika hendak dikatakan gagal, gagal daripada aspek mana? Kalau gagal dari segi hendak mendapat pekerjaan itu saya akui.

“Tetapi kalau dari segi pemberian bakul makanan, itu adalah satu pembohongan,” kata Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kasim.

Oleh kata beliau slogan ‘Kerajaan Gagal’ yang diviral pihak tertentu menggambarkan kegagalan pihak terbabit sendiri.

Menurut beliau slogan itu cuba ditanam di minda rakyat tidak lain tidak bukan hanya untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang.

“Kalau gagal mengapa pemberian vaksin kepada rakyat di Malaysia semakin bertambah malah melebihi sasaran harian yang disasarkan kerajaan.

“Contoh seperti di Wilayah Persekutuan, kita akan mencapai tahap 100 peratus imuniti berkelompok dalam masa sebulan lagi.

“Ia juga akan diikuti negeri-negeri lain yang sedang berusaha keras memberi vaksin kepada rakyat sekarang,” katanya yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

Beliau juga berkata, sepatutnya semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik membantu kerajaan mempercepatkan program vaksinasi di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun katanya sekiranya masih ada pihak yang masih mendakwa kerajaan gagal, mereka perlu tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas.

“Jadi kalau pihak masih mendakwa kerajaan gagal, saya saran mereka tubuh badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama memberi bantuan makanan kepada rakyat.

“Kalau tuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan, sebenarnya mereka sendiri tidak berusaha membantu rakyat. Merekalah yang gagal,” katanya.

Oleh itu beliau menasihatkan pihak yang mendakwa kerajaan gagal jangan sekadar syok menulis di media sosial, tanpa bertindak membantu rakyat yang berdepan dengan kesukaran sekarang.

“InsyaAllah saya dan seluruh ahli parlimen sentiasa menghulur bantuan di mana sahaja rakyat yang memerlukan bantuan, semua kita akan beri,” katanya.

Sementara itu di kawasan parlimen Arau diperuntuk sebanyak 16,000 pek bakul makanan diedar ke seluruh rakyat di kawasan berkenaan.

“6,000 pek daripadanya dari bantuan Pakej Pemulih yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Selebihnya hasil sumbangan peribadi dari Yayasan Pok Kassim dan Senator,” ujarnya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: