Wujud jajaran baru bertopengkan agenda selamatkan negara?
BANGI – Negara memerlukan barisan pemimpin yang kompeten dan berwibawa termasuk pakar yang berkredibiliti dalam mengendalikan krisis yang sedang melanda.
Melihat senario yang berlaku, negara berdepan ‘serampang dua mata’ perangkap dan muslihat membabitkan dua krisis utama iaitu bencana penyebaran COVID-19 serta pemerintahan negara dan peralihan kuasa.
Ironinya, kepimpinan kerajaan yang ikhlas seolah-olah gagal membaca permainan musuh, ditambah pula keraguan dalam kesatuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan Muda.
Lebih membimbangkan, kedengaran pula kuasa jajaran baru yang dibentuk bertopengkan agenda menyelamatkan negara, katanya.
Justeru, beliau memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada kerajaan agar mampu memerintah negara ini sebaik mungkin.
Antaranya pemimpin negara perlu mendukung idealisme yang luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara.
Bahkan, kepimpinan negara perlu memiliki kepintaran, menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap yang berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam.
“Kepimpinan negara juga perlu memiliki kewibawaan, semangat dan azam yang tinggi dalam membangunkan negara dengan berbekalkan taufik dan bimbingan wahyu Ilahi.
“Selain itu, pemimpin membawa agenda negara bangsa dan menjayakan cita-cita negara menjadi kuasa nasional yang memerintah dunia nusantara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Bagi Ustaz Fahmi, jika keempat-empat ciri itu wujud, maka layaklah kepimpinan negara mendapat anugerah kepimpinan rabbani.
“Mungkin mustahil, namun usaha dan cita-cita adalah solusi terbaik untuk masa depan negara yang lebih terjamin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan