Bukan saja langgar SOP malah ganggu penjawat awam bertugas
BANGI – Tindakan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew menimbulkan kekecohan di pekarangan Mahkamah Raub semalam, memperlihatkan perasaan sebenar pemimpin parti tamak haloba terhadap pihak berkuasa dan undang-undang di negara ini.
Bagaimanapun, perbuatan itu bukan sesuatu yang pelik kerana ADUN Sungai Pelek sebelum ini juga amat terkenal dengan keceluparannya dalam pelbagai isu.
Antaranya berkaitan lesen arak, perkauman, menghina raja dan mengajak rakyat memberontak menggulingkan Agong.
Biarpun begitu, kali ini Ronnie Liu sekali lagi bertindak kurang ajar bahkan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Pelek, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.
Apa yang lebih dikesali, beliau turut mengganggu tugas penjawat awam yang diperintahkan melanjutkan tempoh reman terhadap 18 orang penceroboh kebun Musang King di Raub.
“Kacau bilau yang ditimbulkan ADUN Sg Pelek, Ronnie Lui beserta konco-konconya yang bersifat cauvinis, gangster dan tidak bertamadun itu membuktikan perasaan sebenar pimpinan DAP terhadap pihak berkuasa dan undang-undang di Malaysia.
“Tabik dan hormat dari saya kepada abang polis yang sangat berani dan tenang dalam mengawal huru-hara yang berlaku di perkarangan Mahkamah Raub semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Atas sebab itu, Muhammad Lukman berpandangan anggota polis yang bertugas dengan penuh keberanian dan tertib dalam kes itu harus diberikan penghargaan khas dan dinaikkan pangkat.
“Manakala Ronnie Liu, Wong Tack dan Tengku Zulpuri wajar ditunjukkan jalan keluar dari dunia politik Malaysia yang penuh adab dan kesopanan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” tegasnya.
Terdahulu, seramai 18 penceroboh haram kebun durian Musang King yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, direman dua hari, bermula semalam.
Mereka ditahan selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.
Bagaimana proses permohonan reman di pekarangan Mahkamah Raub kecoh selepas berlaku pertengkaran antara pihak berkuasa dan beberapa pemimpin politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan