HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2021

Kerajaan sibuk tangani Covid-19, UMNO dok kalut nak tukar PM

Oleh
 Zulkiflee Bakar
umno tolak ppbm

NAMPAKNYA semangat untuk terus berpolitik dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO masih belum reda. 

Seolah-olah ada satu keresahan apabila menyaksikan dari semasa ke semasa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin mampu menangani pandemik Covid-19 terutamanya dari segi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ada antara mereka masih bercakap soal menukar Perdana Menteri tidak habis-habis selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan ‘separuh masak’ pada 7 Julai lalu menarik semula sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tetapi kekal berada dalam Kerajaan PN.

Ada seorang pemimpin parti itu bercakap soal negara memerlukan pemimpin berwibawa dan dihormati. Tetapi malangnya beliau langsung tidak menyebut siapakah individu tersebut. Kalau benar sudah ada calon berkenaan sebutlah biarlah ahli-ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang membuat penentuan.

Tidak perlulah hanya bijak mengkritik Perdana Menteri dan mahu beliau ditukar tetapi orang yang mendesak itupun tidak berani mahu menamakan calon pengganti. 

Adakah calon itu daripada UMNO? Kalau daripada parti itu siapa? Adakah dalam kalangan mereka yang mempunyai kes di mahkamah? Atau ada calon lain?

Kalaulah si Presiden dikatakan tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri, siapakah yang UMNO mahu calonkan? Atau adakah calon itu hasil daripada pembentukan Jajaran Baharu? Pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu gah bercakap soal menukar Perdana Menteri ini, beranilah sikit, berterus teranglah, jangan cakap separuh-separuh.

Jika mahu bercakap soal kewibawaan dan dihormati, adakah apa yang berlaku dalam UMNO sekarang boleh dijadikan contoh? Berwibawakah kepemimpinan UMNO apabila terpaksa membuat keputusan ‘separuh masak’ selepas ahli-ahli Parlimen parti itu tidak menyokong langkah menarik semula sokongan kepada Muhyiddin? 

Dihormatikah kepemimpinan UMNO apabila semakin banyak komponen Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu?

Kalau semua persoalan itu tidak dapat dijawab secara terus terang, lebih baik segelintir pemimpin UMNO yang dok buat bising pasal tukar Perdana Menteri, duduk diam sahaja. Perlu diingat sekarang bukan masanya mahu mencetuskan pergolakan politik.

Usahlah bijak bercakap soal ketidakstabilan politik sedangkan kita sendiri menyumbangkan kepada perkara itu. Di manakah suara segelintir pemimpin UMNO ini, ketika ada dalam kalangan mereka sejak awal lagi tidak pernah memuji apapun langkah dilakukan oleh kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19. Yang sering kita dengar kritikan demi kritikan dan ada kala sudah sampai pada tahap memperlekehkan usaha kerajaan.

Kalau mahu kestabilan politik, janganlah hanya pandai mengkritik sahaja, penulis tidak kata semua yang dilakukan oleh kerajaan betul, ada juga kelemahan tetapi semua itu diperbaiki dari semasa ke semasa.

Ketika ini tumpuan kerajaan ialah memerangi pandemik Covid-19, cukuplah kita sudah ada varian baharu yang cukup mengancam jangan pula diwujudkan ‘varian’ daripada parti politik.

Usaha memerangi pandemik itu semakin menampakkan kejayaan, walaupun kes baharu masih banyak tetapi ia berada di kategori 1 dan 2 sahaja, tidak mustahil sampai masanya Covid-19 ini akan dianggap endemik dan bukan pandemik apabila ‘herd community’ dicapai.

Setakat Sabtu lalu 4.431 juta atau 13.6 peratus populasi sudah lengkap suntikan dua dos manakala bagi dos pertama, 9.47 juta atau 29.3 peratus populasi sudah disuntik. Janganlah bersikap butakan mata atau pekakkan telinga untuk memberi sedikit penghargaan kepada kejayaan ini.

Benar, kita belum berjaya tetapi ia bukan bermakna kerajaan sudah gagal menangani pandemik tersebut. Kalau peningkatan kes baharu akibat serangan varian Delta mahu dijadikan ukuran gagal atau berjaya, bagaimana dengan Indonesia, Thailand, Jepun, Singapura, Australia dan berpuluh-puluh lagi negara yang terus bergelut dengan pandemik tersebut?

Thailand dan New South Wales, Australia merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid -19, manakala Singapura menimbangkan sekatan baharu.

Keputusan dibuat ketika ketiga-tiga negara meningkatkan program vaksinasi terutama di Singapura di mana jangkitan baharu dikesan berpunca dari pusat karaoke. 

Australia mencatatkan jumlah kes ketiga tertinggi bagi lonjakan terbaru semalam  ketika pihak berkuasa berusaha mengekang wabak berkenaan.

Ia mencatatkan 97 kes tempatan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 8 malam kelmarin walaupun bandar raya Australia yang paling ramai penduduknya, Sydney, masih menguatkuasakan penutupan.

Keadaan di Indonesia lebih parah apabila jumlah kes baharu melebihi 50,000 kes sehari. Data rasmi Thailand pula melaporkan 9,692 kes baharu semalam, iaitu catatan rekod harian baharu sejak wabak itu bermula. 

Ia adalah peningkatan 13 kali ganda sejak awal April, ketika ia dilanda oleh gelombang ketiga dan kemunculan varian Delta.

Penulis akui di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga teratas kes Covid-19 dalam kalangan satu juta populasi penduduk atas sebab itulah kerajaan sedang bertungkus lumus memastikan rakyat negara ini divaksin seramai mungkin.

Dan seperti mana kita lihat sekarang, angka mereka yang menerima suntikan satu dos dan dua dos vaksin semakin meningkat, jadi bersabarlah. Janganlah mahu bermain politik ketika saat-saat begini.

Tambahan pula, pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘cukup bijak berpolitik’ itu perlu sedar yang turut bertungkus lumus bersama kerajaan ketika ini adalah rakan-rakan satu parti mereka, bukannya orang lain.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adha, Baba, dan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.

Mereka diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk memerangi pandemik Covid-19 dan Muhyiddin sendiri setiap hari mempengerusikan sidang khas MKN.

Justeru biarlah mereka membuat kerja dengan tenang bukannya diganggu gugat dengan usaha parti mereka mahu menukar Perdana Menteri atau mempersoalkan kenapa baru sekarang mahu melantik jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Isu itu sudah tidak relevan lagi untuk diperkatakan apatah lagi ketika peperangan menentang Covid-19 belum berakhir. 

Jika pemimpin-pemimpin UMNO begitu yakin mereka boleh kembali berkuasa tunggu sahaja Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukannya mahu mengatur gerakan menukar Perdana Menteri ketika negara berada dalam keadaan sekarang.

Kalaupun ia mahu dilakukan, parti manakah yang akan bersama UMNO? Kalau dalam kalangan ahli-ahli Parlimen sendiripun tidak ada sokongan, janganlah bermimpi mahu mendapatkan sokongan parti lain.

Justeru kesimpulannya, lebih baik hentikan politik sia-sia yang hanya akan menggugat kestabilan politik negara, ini bukan masanya!

Tiada ulasan: