PERGERAKAN Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak supaya pengurusan FELDA meletakkan satu tempoh masa baharu untuk ‘tarikh tutup’ proses mendapatkan tanda tangan semua peneroka yang ditetapkan pada 23 Julai ini ke suatu tarikh yang sesuai.
Ketua pergerakan itu, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ia bertujuan memberi ruang untuk pihak FELDA memberikan penjelasan dan sesi hebahan/penerangan yang lebih jelas di setiap tanah rancangan mengenai rancangan pelupusan hutang peneroka yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini.
“Jelaskan juga apa syarat atau terma yang akan dikenakan tanpa ada sorok dan selindung supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari dan pada masa akan datang kepada pewaris dan generasi baharu FELDA,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat dengan mengambil kira isu hutang peneroka sebelum melakukan proses penjanaan semula atau “restart” program tanah rancangan tersebut.
Mohd. Hairi berkata, berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.
“Namun, saya difahamkan beberapa hari selepas pengumuman itu, pegawai-pegawai FELDA di tanah rancangan mula bergerak rumah ke rumah peneroka untuk pastikan setiap peneroka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa perkara itu hendak dilaksanakan tergesa-gesa dengan meminta tanda tangan peneroka serta-merta seperti ‘memaksa’ mereka menerima tanpa ada penerangan ada sesi perjumpaan terlebih dahulu.
“Peneroka, generasi yang mewarisi peneroka dan seluruh warga FELDA perlu mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya!.
“Jangan cuba wujudkan jurang atau ‘gab’ informasi kerana apabila wujud jurang atau ‘gap’, jangan pula dimarahkan peneroka atau warga FELDA apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri, kerajaan dan pengurusan FELDA yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul,” tambahnya.
Mohd Hairi berkata, perkara seperti itu bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini juga pernah juga berlaku membabitkan permintaan tanda tangan daripada peneroka.
“Jadi belajarlah daripada kesilapan sebelum ini, jangan terus aniaya dan jadikan peneroka FELDA mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, jika benar inisiatif diumumkan itu tidak membabitkan pengambil alihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang ini, nyatakan kebenaran dan perjelaskan kepada warga peneroka.
Katamu, seperkara lagi yang mahu dibangkitkan Pemuda UMNO Johor adalah pengumuman itu seolah-olah memperlihatkan pengurusan FELDA tidak adil kepada peneroka-peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman, tetapi perlu diserahkan pula tanah, berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang.
“Sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan,” katanya. – UtusanTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan